Sunday, September 16, 2012


KEMERDEKAAN DALAM HABITAT SERANGGA
Terkadang nafas Ogos ini mendesah kasar bagai di hujung sakarat
 Kemerdekaan yang bergulir saban musim bagai rutin retorik yang kemandulan hakikat
Patriotisme yang dikosmetik sebagai penghias kempen
 Barangkali roh merdeka ini diterbangkan oleh aneka serangga
Untuk kita mencari diri  dalam habitat dan bahasa mereka
Mari kita terbang membawa dhamir menelusuri rimba makna merdeka para serangga

Mari kita lihat tarian merdeka si kekunang yang mengelip cahaya
Yang terlupa diri hanyalah penghias malam dengan kerlip sinarnya
Sedang rembulan penyinar hakiki menerangi malam dini
Maka pudarlah cahaya Tuan Guru Abu Bakar Al-Baqir
Peniup aqidah merdeka yang jitu dari serambi Gunung Semanggol
Terpencillah suara keramat penggugah Imperialisme Putera Merdeka Dr. Burhanuddin
Sirnalah bau harum darah syuhada Tuan Guru Hj.Hassan b. Munas (Tok Janggut)
Malaplah api jihad Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong
Hilanglah semangat keramat Pak Sako yang mendekam di jeriji besi penjajah
Tangan lain yang menanam pohon merdeka tangan lain yang menikmati manis buahnya
Benarlah kata pepatah sapi yang sentiasa dipuji atas lemaknya susu lembu
Sesungguhnya sejarah itu  selalu ditulis oleh orang yang menang bukan orang yang berjuang

Ayuh, kita menelusuri  jejak sekoloni semut menafsir merdeka dalam gerak dan tindak! 
Sang semut yang mesti sentiasa menjalankan tugas dan kewajipan
dan jangan terlalu cerdik untuk bertanya hak sebagai warga busut
hak untuk bersuara menyatakan pendirian yang benar akan dianggap suatu bangkangan
hak untuk menegur kejelikan nanti akan dituduh sebagai  hasutan
hak untuk mengkritik kemungkaran akan dicap sebagai pembelotan 
kerana Para Semut Besar  yang menguasai busut sentiasa maksum
maka sekalian rakyat semut  tiada hak untuk punya hak
jadi berkhidmatlah  untuk mengumpul segala bekalan makanan
untuk mengisi  tembolok Sang Ratu dan kroni yang sentiasa lapar dan kemaruk
jadi kemerdekaan para semut hanyalah berkisar pada angguk dan patuh

Terus bersamaku untuk mengamati si gonggok yang menggerekot mengulung dirinya
Atas kekerdilan atau barangkali menyembunyikan harga dirinya
Menggulung  jati dirinya yang miskin dengan balutan kerdil jiwa
Hingga  hilang percaya pada keunggulan bahasa ibundanya
untuk  mampu mengungkap kebestarian ilmu dan keunggulan tamadun
Terasa upaya Sunnah Rasul-Nya kurang  daya untuk menjadi solusi penyelesai penyakit umat
Hilang keyakinan untuk melaksanakan Kalam Tuhan sebagai formula ampuh mengurus alam
Melahirkan generasi  yang terasa malu jika dirujuk sebagai timur , sebagai  Islam
Aku semakin jelik melihat gelagat gonggok merdeka yang terdesak menjadi barat. Desperado!
Nyatalah kata-kata Thomas Babington Macaulay ,Pegawai Pendidikan Imperialis British
Bahawa mereka akan menghadiahkan kemerdekaan ini kepada sekumpulan gonggok
“Indian  in blood and colour, with English in taste”


Lihatlah bergentayangan ribuan kelkatu kemabukan ghairah  pada neon  meraikan cahaya kemerdekaan
Kelkatu bangsaku yang muda belia, jantan dan betina amat  biang dan girang
Berpesta pora di Dataran Kebebasan menanti detik ambang merdeka
Dengan di imami para Ketua Kelkatu bertempik sorak …Merdeka… Merdeka
Lalu sayap maruah dan akhlaknya gugur satu persatu
Maka lahirlah anak kelkatu merdeka  tanpa nasab puluhan ribu jumlahnya
Hingga ada yang tercicir di tong sampah atau menjadi hidangan anjing
Itulah kelkatu bangsaku yang menjadi juara kebejatan di bumi watan
Juara penagih tegar puluhan ribu menuntut di universiti serenti
Juara ‘berani kerana bodoh’ merempit di jalan raya
Juara sarang penyakit HIV  jua penyakit gian wiski dan brandi
Juara  kahwin segera dengan diakad syaitan dan bersaksikan apek hotel bajet
Juara gila hiburan menjadi penyembah artis idola
Juara pada segala yang bernama kemungkaran dan keruntuhan akhlak keinsanan
Wahai anak-anak kelkatu bangsaku
Jangan tersilap silau pada cahaya kebebasan itu
Kerana kau akan gugur punah di bumi dalam kejijikan dan kehinaan
Menanti murka tuhan yang paling dahsyat

Untuk kesekiannya marilah merayap bersamaku ke daerah cemar dan kotor
Menghidu bau busuk merdeka yang ternoda pada sang lalat dan lipas
Namun serangga-serangga keji  ini  punya banyak wajah dan watak
Bersalut pakaian munafik duniawi yang memukau dan memikat
Sedang merekalah menjadi sarang virus yang mewabakkan penyakit kehancuran umat
Merekalah  iblis  berwajah kapitalis  yang menjadi saudagar candu hiburan
Membiakkan hedonisme di layar kaca atau corong peti suara
Dengan nama rancangan paling tersohor dan berpristej
Akademi Fantasia, Mentor, Geng Stars, Idola Kecil jua Bintang Klasik
jadi  tauke pusat penghibur lara di kota metro atau di pekan koboi
yang bernama pub, disko , kelab dangdut, kasino jua loteri kebajikan
 Lalat merdeka segak dengan suit berjenama  penuh gengsi  dilengkapi  tali leher lebar sekaki
lipas merdeka ini ada juga  yang berstatus pegawai atasan atau pemimpin kenamaan
punya kekebalan dan mampan undang-undang
untuk melahap ‘wang kopi’ di bawah meja
atau untuk meratah khazanah warga yang terhidang di puncak kuasa
untunglah menjadi lipas dan lalat yang merdeka
kerana bisa terbang megah mengirai sayap meski tubuh berlumur noda

Di Hari Kemerdekaan ini kita mesti belajar bahasa serangga
Supaya kita bisa bercermin untuk menyuluh diri
Samada untuk mencampakkan anugerah merdeka ini ke habitat serangga
atau meletakkannya di atas kalam Al-Khaliq  dan Sunnah kekasih-Nya
pilihan di tangan kita.


                                                                                                                           Subuh  25 Ogos 2011
                                                                                                                           PENCATAT RASA DI HUJUNG TINTA                                          
                                                                                                                           AZIZI HAJI GHAZALI














Thursday, August 9, 2012


Seruan kepada makruf dan mencegah yang mungkar.

Pemimpin dan rakyat harus bersama berperanan menyeru manusia melakukan perkara-perkara makruf dan bersama menentang segala bentuk kemungkaran yang bertentangan dengan kehendak syariat. Sebagai umat Islam, Allah mengiktiraf kita sebagai umat pilihan sebagaimana yang disebut dalam Al Quran;
            Allah SWT berfirman;
“Sesungguhnya kamu adalah umat terbaik yang dikeluarkan daripada kalangan manusia, menyeru kepada yang makruf, mencegah perkara yang mungkar dan kamu beriman kepada Allah”.

Prasarat untuk menjadi umat pilihan mestilah memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki oleh Allah. Umat Islam sebagai khalifah Allah di muka bumi ini mestilah berperanan dengan sungguh-sungguh menyeru kepada perkara yang makruf dan mencegah kemungkaran dan pelengkapnya ialah mesti beriman kepada Allah. Ketiga-tiga elemen ini mestilah bersepadu dalam tindakan untuk layak diiktiraf sebagai umat terbaik. Amat malang kiranya pemerintah membuat perkara makruf dan dalam masa yang sama menggalakkan penyuburan perkara-perkara mungkar ataupun tidak ambil kisah terhadap perkara mungkar yang membiak dalam masyarakat. Dalam konteks Negara kita umat Melayu sejak kebelakangan ini dilanda krisis akhlak yang cukup parah. Lihat sahaja paparan di akbhar-akhbar tentang kes-kes penzinaan, buang bayi, sumbang mahram, pesta-pesta maksiat yang rata-rata banyak membabitkan remaja Melayu yang beragama Islam. Teringatkah kita tentang satu kajian yang dibuat terhadap salah satu Institusi pengajian mendapati 95% pelajar-pelajar Islam mengaku melakukan hubungan seks. Umat Islam juga disogokkan dengan hiburan-hiburan yang berlebihan yang tidak dapat membentuk peribadi-peribadi muslim bahkan mereka hanyut dalam budaya hedonisme. Apa erti kita melaungkan pembangunan fizikal semata-mata tetapi roh kehidupan beragama umatnya, Ibarat pohon yang nampak rendang tetapi akar tunjangnnya mereput. Dalam awal penulisan ini telah disentuh tentang beberapa kaum yang telah dibinasakan oleh Allah. Terdapat kaum-kaum tersebut mencapai puncak ketamadunan yang tinggi tetapi tetapi kualiti kehidupan mereka penuh dengan kemungkaran, kemaksiatan sehingga ada kaum yang Allah lenyapkan di muka bumi ini. Sebahagiannya masih ada kesan-kesan peninggalan tamadun supaya manusia hari ini mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku. Kita amat bimbang jika kemungkaran menyelubungi  kehidupan umat,dan tidak ada usaha yang bersungguh untuk mencegahnya, Allah menyifatkan sebagai perbuatan yang jahat dan pasti menurunkan bencana yang meratai seluruh umat.
           

`           Allah SWT berfirman:
“Mereka adalah satu kaum yang tidak mahu melarang dari kemungkaran yang senantisa mereka lakukan, sesungguhnyanya sikap yang demikian adalah perbuatan yang jahat”                                                                                                                         (Al-Maidah: 79)
            Sabda Rasullulah saw:
Artinya: “Hai manusia, kamu telah baca ayat ini, dan kamu putar-putar Ayat itu di luar maksudnya. Sedangkan Tuhan berfirman: “Hai orang-orang yang beriman, perteguhkanlah keyakinanmu, tidak akan berbahaya kepada orang-orang yang sesat itu, apabila kamu telah dapat petunjuk”. Dan bahawa saya mendengar Rasulullah saw bersabda: “Tidaklah satu bangsa yang melakukan maksiat, dan di dalam kalangan mereka itu orang-orang yang sanggup untuk menentangnya tetapi dilakukannya, melainkan dikhawatirkan bahawa Allah akan meratakan azab kepada mereka semua dari sisiNYa.”
Umat Islam seharusnya merenung dengan penuh mendalam tentang apa  yang disabda olehRasullulah. Umat Islam yang perihatin terhadap ajaran agamanya mestilah ikhlas dan bersedia menerima teguran sebagai kewajiban. Akibat kejahilan memahami tanggungjawab sebagai seorang Islam, kadangkala ada suara-suara yang memaparkan kejahilan dengan mudah membuat ungkapan “jangan jaga tepi kain orang”. Golongan seumpama ini mungkin terlupa atau tidak pernah mengkaji ayat-ayat Allah seperti yang telah dibicarakan dalam tulisan ini sebelumnya. Lihatlah dengan hati yang ikhlas beserta dengan rasa takut tentang bala bencana yang akan dkenakan akibat penderhakaan terhadap Allah atau memekakkan telinga tidak mahu mendengar nasihat dan teguran. Akan wujud suatu keadaan nanti dalam sesebuah negara, yang memimpin umat ialah terdiri daripada pemimpin-pemimpin berkuasa yang melakukan kemaksiatan, kemungkaran, kezaliman dan kejahatan. OLeh itu di tangan umat Islamlah untuk memilih dan menentukan sifat pemimpin yang mereka kehendaki. Jika mereka memilih pemimpin bersasaskan pandangan agama insya Allah mudah-mudahan Allah akan melimpahkan rahmat kepada bangsa dan negara tersebut. Sekiranya umat Islam memilih berdasarkan logik akal dan nilai kebendaan nescaya akan terangkatlah pemimpin-pemimpin jahat di kalangan mereka. Apabila keadaan ini wujud maka untuk mengharap sebuah negara yang diredai Allah tidak akan dimakbulkan. Implikasinya akan lahirlah pelbagai rupa kemungkaran sama ada jenayah, kezaliman, penipuan. Apabila rakyat sudah merasai penderitaan dan kezaliman yang parah, dan ketika itu kalau umat Islam menadah tangan memohon doa atau pemimpin umat Islam berdoa maka Allah tidak akan memakbulkan doa tersebut.
Artinya: “Pilihlah: Apakah kamu akan melakukan amal makruf dan nahi mungkar, atau Allah akan menjadikan orang-orang jahat berkuasa di kalangan kamu, kemudian setelah itu pemimpin-pemimpin berdoa kepada tuhan, tetapi Tuhan tidak akan mengabulkannya lagi”
Umat Islam yang mengaku bahawa Al Quran dan Sunah sebagai Nizamul Hayat mestilah berkewajipan mencegah kemungkaran dengan keupayaan yang ada. Umat Islam tidak boleh bersekongkol dengan membiarkan sahaja perkara mungkar berlaku di depan mata dan tidak ada rasa benci melihat kemungkaran. Sabda Rasulullah;
“Barangsiapa di antara kamu melihat perbuatan mungkar dikerjakan Orang, maka hendaklah ia ubah dengan tangannya sendiri. Jika ia tidak Sanggup, ubahlah dengan lisannya (ucapannya/tulisannya). Jika tidak sanggup juga, ini suatu tanda iman yang paling lemah.”

Umat Melayu Dan Cabaran Masa Depan

Kaum Melayu merupakan etnik yang terbesar di negara ini. Bangsa Melayu telah mengalami proses pensejarahan tamadun yang panjang. Kegemilangan yang dicapai sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka dan kedatangan penjajah yang menjajah begitu lama cukup memberi iktibar dan teladan. Kedatangan Islam ke Alam Melayu telah merobah sistem hidup dan pemikiran orang-orang Melayu. Dengan penghayatan Islam lah bangsa Melayu menjadi gagah dan dikenali suatu ketika dahulu. Dengan pengaruh Islam lah bangsa Melayu menjadi bangsa yang berani menentang penjajah. Pengaruh Islam telah meresap dalam kehidupan orang Melayu termasuklah dalam pemerintahan. Hukum Kanun Melaka, Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Pahang, jelas menunjukkan ada unsur-unsur Islam dalam perundangan tersebut.
            Setelah dijajah sekian lama bangsa Melayu kini sudah mengecapi kemerdekaan melebihi setengah abad. Namun yang menyedihkan pelbagai krisis telah melanda umat Melayu Islam. Masalah keruntuhan moral di kalangan remaja dan belia Melayu cukup parah. Saban hari ada sahaja berita-berita yang mengaibkan tentang perilaku remaja dan orang Melayu. Terdapat berita-berita tentang penglibatan remaja Melayu dalam pesta-pesta seks, pesta minuman keras, penzinaan, rogol, penyelahgunaan dadah, sumbang mahram dan sebagainya. Tahap kemungkaran dan kemaksiatan yang melibatkan remaja-remaja Melayu semakin meningkat dari sehari ke sehari. Apakah kita dapat mencapai sebuah tamadun bangsa yang cemerlang dan terbilang kalau generasi pewarisnya atau benih-benih yang ada sudah mulai rosak. Dalam konteks pendidikan pula, data-data yang menunjukkan salah laku pelajar Melayu cukup serius dan amat membimbangkan. Budaya samseng, hubungan seks di kalangan pelajar semacam tidak terkawal. Apakah wajah-wajah begini yang diharap dapat mengangkat martabat bangsa ke persada dunia dan dapat mengulangi sejarah kegemilangan Islam.
            Pertembungan politik di kalangan orang-orang Melayu, cukup menyesakkan dada dan keadaan remaja Melayu pula terus hanyut dalam kemaksiatan dan kemungkaran. Seorang penyair Arab yang terkenal mengungkapkan;
Sesuatu bangsa itu akan lenyap, apabila akhlak sesuatu bangsa itu rosak’.
            Melihat kepada situasi ini perlu ada suatu pendekatan yang mantap dan peranan yang bersungguh-sungguh di kalangan pemimpin umat dan masyarakat Islam untuk merobah nilai hidup bangsa Melayu Islam yang semakin rosak itu. Apa erti kita bangga dengan pembangunan fizikalnya tetapi daya tahan dan perilaku umat jauh terpesong. Beberapa siri kejadian bencana yang menimpa umat Islam di serata dunia perlu dilihat dengan pandangan agama sebab dan akibat yang menimpa. Allah telah mengingatkan tentang bala bencana yang menimpa umat-umat terdahulu kerana kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan sehingga sanggup menderhakai Allah dan RasulNYA. Sebelum Allah menurunkan azab kepada umat manusia, maka manusia mesti segera kembali kepada tuntutan agama dengan bersungguh-sungguh meletakkan diri sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.
            Sebagai pemerintah, berkewajipan menyekat segala bentuk pengaruh yang boleh merosakkan minda dan akhlak umat Melayu Islam di negara ini. Dengan kuasa yang ada kementerian yang bertanggungjawab berperanan menapis dan menyekat kegilaan yang melampau terhadap rancangan-rancangan hiburan yang manfaatnya terlalu kecil untuk membina wawasan pemikiran anak bangsa yang berakhlak mulia. Di samping itu majalah-majalah prono yang begitu mudah terdapat di pasaran harus ditapis dan hendaklah dihalang penerbitannya kerana tidak ada manfaat kepada kepentingan bangsa dan umat. Persoalannya sejauh mana ada usaha dan kesungguhan untuk membendung gejala ini oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab atau sengaja membiarkan budaya yang merosakkan adat ketimuran dan nilai agama ini runtuh. Ingatlah bahawa musuh-musuh Islam dan kumpulan yang sealiran dengan kehendak mereka akan sentiasa berusaha memesongkan aqidah dan merosakkan umat Islam agar tidak berpegang kepada cara hidup Islam. Mereka amat mengetahui bahawa kekuatan umat Islam terbina atas kekuatan aqidah dan penghayatan Islam yang sebenarnya. Umat Islam mesti dirobek aqidah dan dirosakkan akhlak dengan pelbagai strategi sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kadangkala umat Islam sendiri menjadi alat kepada rancangan jahat musuh-musuh Islam dengan bersekongkol dengan budaya-budaya mungkar.






Reformasi Pendidikan

Menyorot kepada Falsafah Pendidikan Negara yang bertujuan melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, sememangnya melengkapi wacana pembangunan yang bersepadu. Falsafah yang jitu itu ada kelompangan dalam pelaksanaannya. Falsafah yang mulia itu hanya nampak gah di atas kertas sahaja, tetapi gagal mencapai matlamat yang diharapkan. Kita sememangnya berbangga jika dapat melahirkan generasi yang berilmu dan mempunyai pelbagai kepakaran, namun menyedihkan apabila rohaninya rapuh dan akhlaknya semakin merosot. Pendidikan yang kita corakkan selama ini, sememangnya memberi imput yang besar kepada pembangunan negara tetapi belum mencapai keseimbangan yang diharapkan daripada pembentukan falsafah yang murni itu. Matlamat pendidikan hari ini kelihatan lebih menjurus kepada kecemerlangan pencapaian akademik. Apabila sesebuah sekolah itu mencapai tahap prestasi yang rendah maka bergegas lah pihak-pihak yang berkaitan membuat post mortem dan menyusun pelbagai strategi bagi membaiki kemorosotan dan kelemahan tersebut. Namun dalam keghairahan mengejar prestasi akademik, barangkali kita terlupa tentang peranan melahirkan insan yang bersahsiah mulia. Masalah kemorosotan disiplin pelajar semakin serius dan sukar ditangani. Pendidikan hari ini sekadar boleh berbangga dengan pencapaian cemerlang akademik, tetapi akhlak dan moral semakin merosot dan cukup membimbangkan. Saban hari ada sahaja berita-berita yang menyesakkan dada serta menyakitkan telinga yang melibatkan salah laku pelajar daripada kes ponteng hinggalah kepada kes jenayah dan persundalan. Apakah akan jadi terhadap bangsa dan negara ini jika keadaan ini tidak ditangani dengan pendekatan yang komprehensif. Kita tidak mampu menutup pekung yang semakin membusukkan ini. Pendekatan yang efektif perlu segera dilaksanakan dengan mengkaji keberkesanan sistem yang ada sekarang dalam usaha membaiki sahsiah pelajar yang semakin merosot. Pembangunan modal insan yang berteraskan nilai agama dan moral harus digerakkan dengan perancangan yang teliti dan bukan sekadar tempelan semata-mata. Proses pentarbiahan (pendidikan) umat berteraskan kepada penghayatan agama mestilah bermula daripada peringkat awal pendidikan dengan satu dasar dan kaedah yang betul.
            Bagi pelajar-pelajar beragama Islam perlu ada sistem pendidikan bersepadu dengan penekanan terhadap pengajian agama di peringkat pra sekolah dan ada kesinambungan hingga ke peringkat seterusnya. Langkah Kementerian Pelajaran mendirikan sekolah aliran agama merupakan satu langkah yang baik namun pengisian kurikulumnya belum benar-benar mantap. Sewajarnya sekolah aliran agama ini diberi pendekatan yang mampu membentuk keperibadian pelajar muslim dengan keseimbangan pencapaian akademiknya. Percaturan dalam prospek jangka panjangnya, memberi impak positif untuk melahirkan generasi yang berkemahiran tinggi dan mantap akhlaknya. Untuk mengangkat martabat bangsa Melayu yang berilmu dan beriman pembelajaran bersepadu yang menekankan asas aqidah dan pengajian Al Quran serta kemahiran Sains dan Matematik. Pendekatan bersepadu ini  telah dilaksanakan di beberapa buah sekolah agama di bawah pentadbiran Yayasan Islam Kelantan dan wajar dicontohi jika kita benar-benar ikhlas mahu melihat martabat bangsa Melayu mencapai kecemerlangan yang seimbang dunia dan akhirat. Kepakaran umat Islam dalam bidang-bidang kritikal seperti perubatan agak ketara maka sewajarnya ditubuhkan Universiti  Perubatan dan Pengajian Islam secara bersepadu. Dalam hal ini peranan Jabatan Agama Negeri dan agensi-agensi yang berkaitan  boleh menjadi pelopor dengan sokongan dan dokongan oleh kerajaan. Pelajar lepasan sekolah agama dan sains yang mempunyai kelayakan boleh dilatih di universiti berkenaan. Objektif penubuhan ini bagi melahirkan para pakar perubatan Islam yang beriman dan bertakwa. Impian ini boleh menjadi kenyataan sekiranya ada kesungguhan, keikhlasan dan pengorbanan daripada kepimpinan umat Islam.

Ikhlas Dalam Perjuangan

Ikhlas dalam sesuatu pekerjaan atau tindakan semata-mata untuk mencari keredaan Allah mudah untuk dilafaz tetapi amat sukar untuk diterjemahkan dalam niat seseorang. Berapa ramai pemimpin yang melaungkan slogan ikhlas untuk berjuang demi agama bangsa dan negara tetapi akhirnya hanyut dalam matlamat keduniaan. Ada kalangan pemimpin (sebahagiannya) yang berapi-rapi pidato untuk berjuang menegakkan Islam, tetapi apabila sudah memegang jawatan dan mendapat populariti mula lupa pangkalan perjuangan. Peranan dakwah sudah mulai menurun, program-program yang boleh membentuk umah yang bertakwa tidak nampak ummph, tetapi ceramah-ceramah bersifat politik akan mudah disambut kerana ada keinginan mendapat populatiri. Oleh itu perlu seiring antara ceramah politik dan pengisian ilmu bagi membentuk generasi yang beriman dan bertakwa. Proses membina kekuatan dalaman (tauhid) amat penting dalam menghadapi lingkungan cabaran yang begitu hebat. Ada kalangan pemimpin yang sudah diangkat menjadi wakil rakyat enggan turun padang mengambil tahu masalah rakyat setempat. Mereka lebih suka kalau ada majlis-majlis keramaian yang boleh menampakkan imej glamour sebagai pemimpin. Pemimpin seumpama ini tidak ada konsisten dalam perjuangan. Mereka yang tidak ikhlas dalam perjuangan akan mudah meminggirkan diri atau merajuk lantaran tidak terpilih untuk memegang sesuatu jawatan. Ada di kalangan pemimpin yang bersikap egoistik, meremehkan pandangan pengikut-pengikut bawahan  kerana sudah merasa diri hebat apatah lagi bergelar Yang Berhormat.
Inilah penyakit riak dan  nilai keikhlasan dalam perjuangan tidak ditanam dalam kalbu dan dibajai selalu. Lupakah tentang perjuangan panglima Islam yang terkenal Khalid Ibn Walid yang digugurkan daripada mengetuai peperangan oleh Khalifah Umar atas kemaslahatan umat. Namun panglima besar itu tidak sedikit pun merasa gundah kerana matlamat perjuangan beliau untuk Allah dan RasulNya. Berapa ramaikah pemimpin hari ini memiliki sifat-sifat seperti Khalid Ibn Walid? Semangat tanpa proses tarbiah yang konsisten dan mantap tidak akan berjaya membentuk ketahanan cabaran perjuangan dan kemungkinan akan ada nanti manusia yang ghairah hendak memikul amanah, dengan slogan untuk memartabatkan Islam tetapi sebenarnya kerana kepentingan duniawi. Manusia boleh bertahan dengan ujian kesusahan dan penderitaan, tetapi layu dengan ujian kemewahan. Bahkan banyak yang tersungkur dan luntur matlamat perjuangan.Akibat matlamat kebendaan ini tidak hairanlah berlaku lompat-melompat parti jika cita-cita keduniaannya tidak tercapai.

Perpaduan Umah (Melayu) antara Realiti Dan Retorik Politik

Melayu dari sudut perlembagaannya ialah bangsa yang menganut agama Islam. Apabila disebut perpaduan Melayu, maka tergambar di fikiran ialah perpaduan umat Islam di negara ini. Perpecahan perpaduan orang Melayu beerti perpecahan sesama umat Islam. Apakah orang Melayu sekadar berbeza ideologi politik atau wujud perpecahan yang menggugat kuasa kepimpinan umat Islam. Persoalan ini menghantui minda orang-orang Melayu. Orang Melayu mungkin sudah merasakan ada landasan baru yang boleh membawa harapan dan keyakinan untuk mengangkat martabat agama bangsa dan negara. Dalam hal-hal yang menyangkut kepentingan umat Islam amat malang jika untuk mendengar ‘Satu suara’ daripada pemimpin-pemimpin Islam yang berlainan parti atas isu kepentingan bersama. Sesetengahnya mencanang isu yang nampak seolah-olah perihatin terhadap nasib bangsa dan agamanya, tetapi sebenarnya seperti kata pepatah Melayu, “telunjuk lurus kelingking berkait”. Apa yang dicanang semata-mata untuk kelangsungan hayat politik dan kuasa.
Pertembungan dua parti terbesar yang mewakili orang Melayu iaitu PAS dan UMNO memberi kesan kepada perpaduan umat Melayu Islam. Para cendiakawan Melayu banyak membicarakan tentang perpaduan Melayu yang melibatkan dua parti terbesar itu. Apakah asas yang perlu diletakkan dalam mencari formula perpaduan umat Melayu ini. Umat Melayu mesti kembali kepada penghayatan Islam yang sebenar dengan meletakkan Al Quran dan sunah sebagai asas perpaduan. Umat Melayu Islam harus keluar dari kepompong ketaksuban kepartian yang melampau sehingga tidak dapat melihat kebenaran dan kadangkala tidak dapat membuat penilaian yang adil terhadap sesuatu perkara yang dilakukan oleh kumpulan ideologi yang bertentangan. Ketaksuban itu jugalah menyebabkan berlaku ketidakadilan, ada sesetengahnya membela atau membantu kumpulan orang Melayu yang menyokong mereka sahaja. Kebodohan berpolitik ditambah dengan kerosakan jiwa inilah yang memungkinkan wujud amalan buruk ini. Ada di sesetengah tempat JKKK seperti Pak Pandir, bertindak atas sentimen kepartian yang sempit, bantuan hanya untuk orang Melayu yang menyokong parti mereka sahaja. Apa guna bercakap tentang perpaduan umat Melayu sekiranya sikap buruk ini masih menebal dan tidak dapat dirungkai. Kadangkala kita cukup terharu melihat tindak-tanduk pemimpin Melayu yang tindakannya menepati peribahasa Melayu: Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Formula perpaduan umat mestilah berpaksi kepada Islam. Perjuangan atas nama bangsa tanpa bertunjangkan kekuatan agama tidak akan berupaya mengangkat martabat umat Melayu. Syarat utama membentuk perpaduan umah mesti ada keikhlasan mengangkat martabat ummah. Selagi tidak wujud keikhlasan maka masing-masing akan menghitung kepentingan kepartian dan yang ruginya umat Islam sendiri.
Perpaduan Melayu sukar dicapai selagi pemimpin umat Islam tidak meletakkan asas perjuangan  dengan berpegang kepada prinsip keadilan dan keikhlasan dengan matlamat mencari keredaan Allah. Maka wujudlah percakaran sama ada dalam parti atau daripada organisasi parti yang berbeza kerana kuasa, populariti dan kemewahan. Apabila matlamat kebendaan dan kuasa menjadi fokus yang tersirat dengan terhakisnya konsep ikhlas dalam jiwa maka perpaduan dan perjuangan yang dicanang sekadar retorik politik yang mempunyai agenda yang terselindung barangkali. Apabila matlamat kebendaan bertembung dengan matlamat mencari keredaan Allah  maka usaha-usaha memupuk perpaduan umat Islam yang berlainan parti menemui jalan yang agak sukar. Dalam keghairahan laungan murni ke arah perpaduan, namun dalam masa yang sama subur pula budaya fitnah yang berleluasa dan memualkan. Budaya fitnah yang bersarang di kalangan umat Islam jelas menggambarkan kerosakan akhlak yang cukup parah.

Masyarakat Jahiliah Alaf Baru

            Sejarah umat Arab sebelum kedatangan Islam dan diutuskan Rasul sesungguhnya mereka berada dalam kegelapan petunjuk agama. Masyarakat yang terkenal dengan sifat asabiah, ganas, suka berperang, memandang rendah terhadap kaum wanita akhirnya menjadi bangsa yang mengukir kecemerlangan tamadun apabila cahaya agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw meresap teguh dalam jiwa bangsa arab. Nilai hidup manusia yang rosak telah dijernihkan melalui ajaran Islam yang dibawa oleh utusan Rabbi. Persaudaraan, keadilan, sistem bernegara, kepimpinan serta kehidupan generasi yang berteraskan Al-Quran sebagai sistem cara hidup. Islam telah mengatur kehidupan manusia daripada perkara kecil sehinggalah perkara-perkara yang besar. Rasullulah dalam konteks dakwahnya telah menanam asas-asas aqidah yang jelas dengan proses tarbiah yang penuh hikmah dan kebijaksanaan. Apabila aqidah seseoarang Islam itu jelas dan mantap dalam jiwa maka segala tindakannya berpaksikan keimanan dan ketakwaan serta matlamat pengabdian diri kepada Allah. Islam telah membawa sistem hidup yang cukup teratur dan sempurna. Manusia yang dahulunya bertuhankan sesama manusia telah meletakkan ketundukan dan kepatuhan kepada Allah SWT.
            Setelah kedatangan agama Islam, Masyarakat Melayu di Nusantara telah mengalami perubahan nilai hidup daripada fahaman anisme dan kepercayaan karut kepada nilai hidup yang berteraskan agama Islam. Pada abad ke-15, Kerajaan Melayu Melaka telah menjadi pusat perkembangan agama Islam yang terkenal. Pemerintah Melaka (Raja-raja) telah memainkan peranan penting dalam usaha mengembangkan ajaran Islam kepada rakyat jelata. Para alim ulama memainkan peranan di istana sebagai pendakwah. Undang-undang yang berteraskan Islam seperti Hukum Kanun Melaka menjadi undang-undang yang penting untuk menjamin kesahteraan rakyat. Bahkan diriwayatkan bahawa Sultan Alauddin Riaayat Shah mengikuti contoh Khalifah Umar sanggup meronda malam untuk memastikan keselamatan penduduk Melaka. Begitulah sayangnya Sultan Melaka kepada rakyat dan amat mengambil berat tentang ajaran agama Islam. Pemerintah Melaka secara tidak langsung telah mengangkat martabat penduduk Melaka dan jajahan takluknya melalui penyebaran agama Islam. Pendakwah-pendakwah Melaka telah dihantar ke serata jajahan Melaka bagi menyampaikan ajaran Islam. Kesan tamadun Islam itulah terdapat negeri-negeri yang berunsur pengaruh Islam seperti Perak Darul Ridzuan, Pahang Darul Makmur, Terengganu Darul Iman dan Kelantan Darul Naim.
 Islam tersebar dan bertapak sudah agak lama di alam Melayu dan berlaku proses Islamisasi dalam kehidupan umat Melayu.Pengaruh Islam telah meresap ke dalam budaya masyarakat Melayu. Penggunaan tulisan jawi merupakan sebahagian daripada pengaruh Islam. Setelah  50 tahun negara mencapai kemerdekaan daripada penjajahan barat, maka di tangan pemimpin-pemimpin umat Melayu Islam pula lah yang mencorak budaya hidup masyarakat. Sepanjang perjalanan mengisi kemerdekaan, negara telah mencapai tahap perubahan pembangunan fizikal yang boleh dibanggakan. Namun dalam usaha mengorak langkah menjadi negara maju, umat Melayu generasi pasca merdeka telah dilanda wabak kepupusan nilai akhlak dan menyimpang daripada penghayatan agama yang cukup serius. Wabak ini bukan sahaja tersebar di bandar-bandar atau kota-kota besar tetapi turut tersebar di luar bandar. Generasi mudanya hanyut dengan gaya hidup yang tidak mencerminkan keperibadian Muslim, manakala sebahagian pemimpin Islam pula terbabit dengan gejala mungkar demi  memburu kemewahan dan kerakusan kuasa yang memburukkan lagi imej Islam.
            Keruntuhan akhlak generasi Melayu baru ini perlu dicegah dan diubati segera dengan memantapkan aqidah dengan berpegang teguh kepada petunjuk Al Quran dan sunah. Hari ini bilangan anak-anak Melayu yang tidak boleh membaca Al Quran cukup menyedihkan. Jika Al Quran sebagai pedoman hidup tidak boleh dibaca apatah lagi untuk memahami isi pengajarannya. Apabila manusia sudah lari jauh dari petunjuk Al Quran, maka  lahirlah generasi umat yang diselubungi dengan pelbagai kemungkaran dan kemaksiatan. Bermacam cerita pelik tetapi benar telah menjelma dalam kehidupan umat Melayu Islam. Umat Islam dikejutkan dengan “Rasul Melayu’, wakil tuhan dari langit, murtad, datuk merogol cucu, ayah merogol anak, bayi lahir dalam tandas sekolah, mat rempit serta pelbagai lagi kemaksiatan yang melingkari umat Melayu Islam. Pelaksanaan undang-undang tanpa ditekankan secara serius proses mendidik umat dengan prinsip moral dan akhlak tidak akan dapat menyelesaikan kemelut umat dengan berkesan. Maka pelbagai musibah  melanda kehidupan rakyat keseluruhannya. Apabila kesepaduan antara pelaksanaan undang-undang dan pembinaan insan bergerak selari maka kemelut yang melanda umat akan dapat dikurangkan walaupun tidak secara total, tetapi dapat memberi implikasi besar terhadap kesejahteraan, kestabilan serta menjadi asas penting melahirkan generasi pewaris kepimpinan negara bangsa yang bermaruah dan menjadi model kepimpinan umat. Generasi muda Islam kini telah dihinggapi pelbagai penyakit yang menjurus kepada keruntuhan akhlak yang memerlukan penawar yang mujarab untuk menyembuhkannya.
            Apabila membicarakan tentang dunia hiburan, remaja Melayu lah yang tersohor dalam kegilaan yang melampau. Sebut sahaja ada pesta hiburan, kelihatan wajah-wajah remaja Melayu lah yang membanjiri tempat-tempat tersebut. Bahkan dalam suasana menyambut Hari Kemerdekaan dan tahun baru umpamanya, pelbagai aksi remaja Melayu yang mencemarkan adab sopan serta maksiat telah berlaku. Pernah dilaporkan suatu ketika terdapat kondom-kondom ditemui selepas pesta yang berakhir hingga larut malam. Ada juga kumpulan remaja Melayu yang menganjurkan tarian separuh bogel seperti yang didedahkan oleh akhbar tabloid baru-baru ini. Apakah peranan umat Islam di negara ini sama ada ibu bapa, JKKK, masjid, Jabatan Agama Islam, masyarakat dan pemimpin negara yang berkobar-kobar untuk mengangkat martabat agama, bangsa dan negara. Apakah pemimpin-pemimpin Islam di negara ini tidak ada usaha dan kesungguhan dengan  memejamkan mata daripada melihat secara serius  remaja Islam yang semakin jauh daripada penghayatan Islam. Pemimpin atau pemerintah perlu ada kesungguhan dan kesedaran untuk mengembalikan generasi muda kepada penghayatan agama. Pelbagai krisis yang melanda umat dan dunia Islam hari ini lantaran kualiti umatnya sama ada pemimpin dan rakyat tidak berada di atas landasan Islam seperti yang dikehendaki oleh Alah dan RasulNya. Pemimpin dengan gaya hidup mewah dan angkuh, rakyat pula terlibat dalam pelbagai aktiviti-aktiviti mungkar menjadi wabak yang akan membawa kepupusan akhlak dan cara hidup Islam. Tidak hairanlah  umat Islam dihina dan diratah oleh musuh-musuh Islam kerana kualiti umat Islam seperti buih di lautan. Negara yang dipimpin oleh kepimpinan Islam hari ini ditimpa kehinaan demi kehinaan dan pelbagai musibah. Apabila umat dan pemimpin Islam menyimpang daripada petunjuk agama maka untuk menegakkan negara yang digambarkan oleh Allah dalam firmanNya;
..Negara yang baik dan dapat pengampunan daripadaNya.
(Surah Saba’ ayat 34: 15)

Menyorot Sejarah Perjuangan Bangsa melayu

            Perjuangan menentang penjajah dan pengorbanan menuntut kemerdekaan di Negara ini telah dipelopori oleh masyarakat Melayu. Semenjak zaman Portugis, Belanda, British, Jepun bangsa Melayu Islam yang mempunyai sejarah panjang dalam perjuangan menentang penjajah. Ramai pejuang termasuk tokoh-tokoh agama yang terkorban demi mempertahankan tanah air daripada diperkuda sewenang-wenangnya oleh penjajah. Semasa pentadbiran British di Negara ini tokoh-tokoh seperti Tok Janggut (Mat Hassan) Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong, Dato Bahaman, Dol Said telah bangkit menentang penjajah British. Tok Jangut sanggup menggadai nyawa demi mempertahan maruah agama dan bangsa. Haji Abdul Rahman (Terengganu) bangkit menentang dasar-dasar British yang membebankan rakyat serta mencemarkan pentadbiran Islam.
            Semasa pelaksanaan Gagasan Malayan Union, orang-orang Melayu dengan kesedaran yang dicetuskan oleh tokoh-tokoh berpendidikan agama telah bangkit menentang gagasan Malayan Union. Dr Burhanuddin Al Helmy, Abu Bakar Al Baqir antara tokoh yang menggerakkan perjuangan umat Melayu menentang British. Pihak British amat menyedari tentang betapa bahaya tokoh-tokoh tersebut terhadap kepentingan British sama ada kepentingan ekonomi, penjajahan budaya serta pemikiran sekular yang perlu ditanam dijiwa bangsa yang dijajah. Pihak British menyedari bahawa perlu memperalatkan golongan elit Melayu yang boleh menjamin kepentingan British. Apabila Perlembagaan Rakyat dikemukakan oleh Dr Burhanuddin Al Helmy ditolak oleh British dengan mencanang proganda bahawa perlembagaan tersebut daripada golongan yang dipengaruhi oleh komunis. British sudah menyedari bahawa apabila kemerdekaan diberi atas desakan golongan berhaluan kiri yang berteraskan Islam, tentunya akan menjadi penghalang kepada cita-cita British dalam visi dan misi penjajahan.
            Apabila Brritish memberikan kemederkaan kepada negara pada tahun 1957, orang Melayu sanggup membuka pintu rumahnya kepada kaum pendatang dengan tidak ada apa-apa prasangka dan tidak menzalimi mana-mana kaum yang bermastautin di negara ini. Begitulah sikap baik hati bangsa Melayu ini. Oleh itu dalam proses mengisi kemerdekaan dan membentuk negara bangsa prinsip keadilan perlu mengambil kira sejarah pengorbanan umat Melayu Islam di negara ini. Umat Melayu sejak merdeka hingga kini masih ketinggalan dalam bidang ekonomi, maka pembelaan terhadap bangsa Melayu ini jangan dicurigai. Namun begitu, pembelaan terhadap bangsa Melayu ini jangan sampai tidak berlaku adil atau menzalimi hak-hak orang kaum lain yang telah bermastautin dan menunjukkan taat setia terhadap negara ini. Tuntutan kaum lain pula jangan sampai menghimpit hak-hak yang telah disepakati dalam kontrak sosial. Kita merasa amat sedih umat Islam di bawah pemerintahan kerajaan bukan Islam mengalami nasib yang buruk. Umat Islam Rohingya, Selatan Thai dan Filipina, Kashmir bahkan umat diganyang di negara sendiri seperti yang berlaku di Palestin. Namun kematangan rakyat di negara ini telah berjaya membendung sentimen kaum dan agama.
           
Pengikut Dan Pemimpin

            Sesebuah organisasi akan menjadi  mantap apabila wujud kesatuan dalam tindakan, cara berfikir,  perancangan dan gerak kerja yang sistematik. Setiap ahli parti seharusnya memahami dengan jelas matlamat organisasi, pendekatan yang sesuai dengan maqasid syariah. Pendekatan yang berhemah dan bijaksana  amat penting dalam usaha melebarkan pengaruh organisasi. Tindakan yang tidak cermat dan terburu-buru akan mengundang kesan yang negatif terhadap organisasi.
            Proses tarbiah yang berterusan, sistematik dan berkesan amat penting untuk melahirkan kualiti ahli parti yang berilmu beriman dan beramal. Semangat tanpa pembinaan kekuatan dalaman akan mudah goyah apabila menghadapi ujian terutama yang berkaitan dengan kebendaan dan kemegahan. Apabila ada hubungan yang berterusan antara  pemimpin dan ahli (dialog, seminar, usrah majlis lilmu), akan mewujudkan persaudaraan yang kuat serta saling menghormati kerana persaudaraan itu dibentuk atas kalimah tauhid melalui proses pentarbiahan yang berteraskan keimanan. Apabila sudah wujud suasana ini maka pasti akan mencetuskan semangat kesetiaan, sedia berkorban untuk memartabatkan agama melalui organisasi dalam hakikat yang sebenarnya.
Konsep musyawarah amat penting dalam membuat sebarang keputusan besar. Percambahan minda melalui musyawarah akan menjurus kepada kebulatan dalam merungkai sebarang isu atau gagasan. Apa yang lebih penting setiap gagasan daripada pucuk pimpinan perlu diperturunkan kepada akar umbi supaya tidak timbul kecelaruan minda, polemik yang merugikan perjuangan. Sementara itu peringkat akar umbi pula jangan cepat melatah sekiranya tidak memahami sesuatu fenomena dengan membuat pelbagai andaian. Ingatlah musuh akan sentiasa mengambil kesempatan atas kecuaian dan kelemahan kita.
Amat penting apabila sesuatu keputusan telah diputuskan melalui musyawarah dan syura, maka seharusnya tidak timbul sebarang perdebatan lagi. Kenyataan selepas sesuatu keputusan dicapai  hanya akan dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi organisasi. Kenyataan-kenyataan oleh peringkat pimpinan lainnya mesti selari dengan pucuk pimpinan tertinggi. Jika terdapat perbezaan pandangan berhati-hatilah untuk membuat penyataan umum yang boleh mencetuskan polemik dan kecelaruan minda. Gunakan saluran-saluran yang telah disepakati. Penyataan yang meragukan seharusnya tidak dibuat secara terbuka walaupun benar kita mengamalkan keterbukaan dalam memberi pandangan. Di sinilah letaknya kebijaksanaan untuk melihat kesan kepada organisasi apabila sesuatu pandangan bersifat peribadi dengan mendahului keputusan syura diutarakan.
Pemimpin atau ahli parti jangan bersifat ‘besar diri’ apabila mendapati sokongan rakyat semakin bersemarak dengan membuat kenyataan yang berunsur riak sehingga merasa kehebatan diri sehingga terlupa persekitaran dan elemen-elemen yang menyokong kekuatan organisasi. Keghairahan yang tidak kena pada tempatnya boleh menjejaskan sokongan  daripada rakyat.











Islam Teras Agenda Perubahan

Dalam konteks umat Islam di Malaysia cabaran mengangkat martabat umah memerlukan kesungguhan dan keikhlasan terutama yang melibatkan pemimpin-pemimpin politik Islam yang bertentangan Ideologi. Pertembungan dua ‘musuh politik’ Umno-Pas sejak sekian lama sedikit sebanyak memberi implikasi terhadap masa depan umat Islam di Negara ini. Persaingan global ‘dunia tanpa sempadan’ menuntut masyarakat Islam dan bukan Islam di Negara ini mempunyai inspirasi nasional yang jelas dan mantap untuk memacu kekuatan sebuah Negara bangsa yang gagah, makmur, dan sejahtera.
Kuasa politik Melayu-Islam di Negara ini harus mantap bagi meneruskan kepimpinan rakyat keseluruhannya sama ada Islam dan bukan Islam. Persengketaan politik umat Islam di Negara ini jangan sampai ‘menang jadi abu, kalah jadi arang’. Umat Islam harus mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku terhadap Negara-negara Islam yang bertelagah sesame sendiri di samping terus diganyang seperti yang berlaku di Palestin, Iran, Afganistan dan beberapa tempat lain termasuklah di rantau Asean. Umat Islam di Malaysia tidak terlepas diselubungi pelbagai kemelut, krisis kepimpinan, persaudaraan yang meruncing, kelemahan ekonomi, krisis akhlak sehingga menjurus kepada kelesuan dan tercalarnya maruah umat.
Untuk melahirkan kekuatan umat sebagai generasi pewaris kepimpinan, teras utamanya mestilah berpaksi kepada pandangan hidup Islam yang jelas dan berpegang kepada kekuatan Al-Quran dan As-Sunnah. Hari ini masalah keruntuhan akhlak remaja Islam cukup membimbangkan. Untuk menangani krisis ini proses pendidikan memainkan peranan yang cukup penting. Kurikulum pendidikan berteraskan asas-asas Islam di peringkat pra-sekolah mesti dilaksanakan. Kecemerlangan ilmu tanpa jati diri dan pegangan agama yang kuat akan mewujudkan ketidakseimbangan. Tidak hairanlah ada pegawai-pegawai atasan, bawahan, ahli politik Islam yang terjerumus dengan pelbagai skandal seperti amalan rasuah, kerana penghayatan terhadap agama yang tidak mantap.
Untuk menangani krisis akhlak umat Islam di Negara ini semua pihak sewajarnya bergandingan bahu sama ada parti politik, NGO Islam, Pertubuhan-pertubuhan Islam seperti Yadim, Jakim, Majlis Agama Islam Negeri dan Institusi masjid. Persengketaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang terhadap usaha-usaha membangun kekuatan umah. Keikhlasan mencari keredhaan Ilahi dalam apa jua urusan harus menjadi slogan dan penghayatan dalam diri setiap umat Islam. Jika ini tidak menjadi unsur utama, maka lahirlah hasad dengki, dendam kesumat, zalim dan memperlekehkan usaha-usaha murni yang di lakukan oleh pihak lain.
Jika kempen politik boleh diatur dengan pelbagai propaganda untuk meraih sokongan, maka sewajarnya pengembelengkan tenaga dalam hal-hal yang boleh di sepakati demi kepentingan umah di gerakkan dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan dengan perancangan yang baik. Allah akan membuat penilaian berdasarkan keikhlasan dan usaha yang bersungguh-sungguh bukan berdasarkan kepartian. Allah amat mengetahuai segala-galanya.         


Kesedaran dan usaha mengangkat martabat umat Islam khususnya di negara ini memerlukan asas yang bersendikan kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Daripada asas iman dan takwa akan lahir keikhlasan, keadilan dan persaudaraan Islam yang kukuh. Ternyata umat Islam kini dilanda krisis akhlak dan kepimpinan yang membimbangkan serta ukhuwah yang semakin terhakis. Matlamat kebendaan menjadi cita-cita utama daripada matlamat pengabdian diri kepada Allah sehingga sanggup melanggar batas-batas agama. Oleh itu umat Islam mesti kembali kepada petunjuk Al Quran dan sunah sebagai sistem cara hidup yang syumul.
            Dalam mengharapkan negara mendapat keberkatan dan limpahan rahmat daripada Allah, umat Islam mesti meletakkan Islam sebagai kayu pengukur dalam menentukan kepimpinan negara. Pemimpin yang beriman dan bertakwa akan memandu rakyat kepada pengabdian diri kepada Allah. Rakyat yang berjiwa merdeka dan perihatin terhadap agama, bangsa dan negara perlu membuat penilaian terhadap kualiti kepimpinan daripada pelbagai sumber yang meyakinkan. Rakyat tidak seharusnya menerima tanpa membuat apa-apa analisis terhadap dasar-dasar pemerintahan sesebuah kerajaan. Kepelbagaian maklumat amat penting agar keputusan mengangkat pemimpin melalui proses demokrasi berada pada landasan yang betul. Kebergantungan kepada satu sumber sahaja akan melemahkan daya fikir umat dan tidak mampu membebaskan minda yang terpenjara oleh kebebalan sendiri.
            

Pemimpin dan Prinsip Keadilan

Keadilan merupakan tonggak kekuatan dan kesejahteraan yang mendasari urusan kehidupan umat terutama dalam konteks menjunjung prinsip keluhuran undang-undang yang menjamin hak dan pembelaan hak rakyat yang bernaung di bawah kuasa kepimpinannya. Apabila keadilan tidak terlaksana dalam urusan kehidupan umat, natijahnya berlaku pergolakan jiwa yang membawa kepada penentangan sama ada melalui kuasa rakyat secara proses demokrasi ataupun melalui cara yang bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan. Kemungkinan ada kelompok atau individu yang merasa haknya tidak terbela dan dijamin dalam perlembagaan dan keadilan undang-undang merasa tertindas dan tidak mendapat keadilan, tidak mustahil berlaku tindakan-tindakan bersifat keganasan untuk menyuarakan penentangan akibat kezaliman yang mencengkam perasaan. Islam amat menekan keadilan dalam menyelesaikan kemelut manusia terutama keadilan penguasa atau pemerintah. Apabila terlaksana prinsip keadilan dalam pemerintahan, rakyat umumnya merasai kehidupan yang selesa, selamat di bawah payung pemerintahan yang adil. Rakyat akan bersedia memberi baiah dengan hati yang penuh rela. Islam telah memberi peringatan dan amaran tentang prinsip keadilan.
            Allah SWT berfirman;
Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu sebagai penegak kerana Allah secara adil, sebagai saksi-saksi yang adil dan janganlah hendaknya kerana kezaliman sesuatu kaum itu membuatkan kamu tidak berlaku adil, bercakap adillah, kerana keadilan itu adalah lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah”.
Keadilan merupakan tuntutan agama kerana Alah memerintahkan manusia berlaku adil. Sesunggunya keadilan  itu menjurus kepada sifat takwa. Jangan sekali-kali orang-orang yang beriman berlaku tidak adil terhadap sesuatu kaum lantaran kesalahan yang mereka lakukan. Pertembungan politik antara kumpulan umat Islam, jangan sampai satu puak melihat sehitam-hitamnya puak lawannya sehingga tidak ada langsung kebaikan yang dilakukan untuk kebaikan umat. Jangan ada pula satu puak yang langsung tidak mahu menerima apa jua teguran dan membuat tuduhan-tuduhan melulu atas alasan bermotif politik. Akibat pertembungan politik juga sehingga berlaku ketaksuban kepartian sehingga sangup menzalimi rakyat yang sebangsa dan seagama. Di manakah letaknya persaudaraan Islam sedangkan Al Quran menjelaskan bahawa umat Islam itu bersaudara. Kita bersolat dan berpuasa sebagai memenuhi tuntutan agama tetapi dalam masa yang sama melakukan kezlaliman terhadap manusia seperti menyekat bantuan atau peruntukan terhadap kelompok yang tidak sehaluan. Jelas perbuatan tersebut bercanggah dengan prinsip keadilan. Pemimpin yang diberi tanggungjawab untuk menjalankan amanah Allah mesti lah berlaku jujur dan tidak menyalahguna kuasa. Perlanggaran tehadap amanah ini menyebabkan tertimpa hukum ke atasnya dalam bentuk “haram ia dimasukkan ke syurga”. Ketentuan hukum ini disebut dalam Hadis Nabi saw yang berbunyi;
           
Artinya; ”Tidaklah seorang pemimin (khalifah) yang dituntun tuhannya supaya menuntun rakyatnya, kemudian ia mati kerana telah sampai ajalnya padahal ia telah menyeleweng dalam kepimpinannya itu, kecuali Allah mengharamkan syurga baginya”
                                                                                                                                                (H.R.Muslim)
Sesungguhnya Allah amat mengasihi pemimpin yang adil ialah pemerintah (khalifah) yang berlaku adil terhadap rakyat di bawah kekuasaan pemerintahannya, hatta rakyat  bukan  Islam yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Peringatan kepada pemimpin supaya berlaku adil dan tidak menzalimi rakyat telah diberitahu oleh Rasulullah  melalui hadis-hadis baginda. Rasulullah bersabda;
Artinya; “Makhluk yang paling dicintai tuhan adalah adalah imam (khalifah) yang adil, dan yang paling dibenci oleh Allah adalah imam (khalifah) yang zalim”.
                                                                                                            (Hadis dalam Musnad Imam Hambal)
Artinya; “Satu hari bagi imam (khalifah) yang adil lebih baik beribadah enam puluh tahun”.
            Berdasarkan dua hadis tersebut Islam amat amat menekan keadilan demi kesejahteraan manusia sejagat. Dalam konteks Negara, pemimpin mesti bersifat adil mengikut ketentuan syarak. Pemimpin yang zalim amat dibenci Allah. Jika Allah membenci pemimpin yang zalim, amat janggal kiranya ada manusia yang menjulang pemimpin yang zalim serta mengagung-agungkannya. Apakah manusia sudah bertuhankan manusia, dengan membelakangkan Allah dan RasulNya? Umat Islam jangan bertindak berdasarkan pemikirannya sahaja tetapi mesti kembali merujuk kepada pengajaran agama yang dibawa oleh Rasullullah saw agar  umat Islam tidak tersesat dan terpedaya.
            Dalam melaksanakan proses keadilan, Islam tidak mengira pangkat dan keturunan. sesiapa sahaja yang bersalah sama ada rakyat biasa atau pemimpin mesti dibawa ke kamar pengadilan  tanpa tindakan berpilih. Hakim mestilah melaksanakan amanah perundangan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Ketidakadilan akan berlaku dan menimbulkan kegelisahan umum apabila rakyat biasa yang bersalah menerima hukuman tetapi pemimpin-pemimpin besar terlepas kerana kuasa dan pengaruh. Rasullulah mengingatkan tentang keadilan dalam melaksanakan sesuatu hukuman. Baginda bersabda dalam khutbahnya;
“Hai sekelian manusia, sesungguhnya telah hancur orang-orang sebelum kamu kerana apabila ada orang bangsawan di antara mereka mencuri, mereka membebaskannya. Tetapi apabila ada orang lemah (rakyat biasa) di antara mereka mencuri mereka menjatuhkan hukuman ke atasnya”.
            Peringatan Rasullullah itu cukup serius tentang bagaimana umat-umat dahulu mengalami kehancuran lantaran berlaku ketidakadilan dalam penghakiman. Rakyat dizalimi dan tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Sesuatu bangsa atau negara itu akan mengalami krisis kemanusiaan yang parah apabila penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh golongan bangsawan, pemimpin, pegawai atasan dilindungi atas kepentingan keduniaan dengan membelakangkan tuntutan agama. Apabila manusia memelihara penyelewengan orang-orang besar dan mengenakan tindakan kepada orang-orang kecil sahaja, sebenarnya ia menempah kemurkaan Allah dan menunggu saat dan ketika untuk diberi pembalasan oleh Allah.
Pemimpin yang melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa, para ulama dan cendiakawan muslim berpendapat pemimpin begini harus dilucutkan jawatan kerana tidak beramanah dan rakyat terutama yang memahami tuntutan dan syariat agama tidak perlu menyokong atau memilih pemimpin yang khianat kepada rakyat. Dalam konteks ini Al-Ghazali mengutarakan dua bentuk kekuasaan khalifah yang harus dihentikan, iaitu;
A) Khalifah Zulm, iaitu khalifah yang menjalankan politik tirani, yang bertentangan dengan keadilan dan kehendak rakyat.
B) Khalifah Ghairal Syaubah, yakni khalifah yang tidak mampu menjalankan kebijakan politik  yang adil, yang digariskan oleh syariat dan rakyat.
Berdasarkan keterangan-keterangan Al Quran dan hadis ulama –ulama golongan sunni melihat bahawa pemimpin seumpama ini boleh merosakkan negara dan agama. Dalam konteks pemimpin yang diangkat melalui proses pilihanraya maka sewajarnya rakyat bangun dengan mengenepikan bentuk kepimpinan ini melalui proses yang diizinkan dalam perlembagaan. Rasulullah sebagai model kepimpinan, telah menjadikan Madinah sebagai model pemerintahan terunggul yang benar-benar berpegang kepada prinsip keadilan. Piagam Madinah itu sendiri telah menterjemahkan bagaimana Baginda junjungan besar Muhammad s.a.w. melaksanakan keadilan dalam pemerintahan yang di dalamnya terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam. Perjuangan atas dasar perjuangan bangsa semata-mata tidak mungkin merealisasikan prinsip keadilan dalam pemerintahan. Kemuliaan dan kemegahan tamadun bangsa tidak membawa makna apa-apa selagi prinsip keadilan tidak dilihat dalam ruang lingkup syariat Islam. Keadilan pemerintahan  seperti yang dirakamkan dalam sirah para nabi dan rasul serta para sahabat untuk umat manusia dan Islam khususnya mengambil iktibar, pedoman sebagai asas menerajui kepimpinan umat dan negara. Rasulullah dalam suatu peristiwa yang dihadapkan kepada baginda dengan sabdanya;”
Jika anakku Fatimah yang mencuri, nescaya akan kupotongTangannya”.
Hadis ini menggambarkan dalam proses melaksanakan keadilan, Rasulullah tidak mimilih sahabat, keturunan dan pangkat. Sesiapa sahaja yang bersalah pasti menerima hukuman. Amat malang jika di zaman ini pemimpin Islam melindungi pesalah-pesalah demi menjaga pengaruh dan kuasanya tidak tergugat.Bahkan proses melaksanakan keadilan kadang kala berpilih.Rakyat yang kerdil akan pantas dihukum, tetapi pesalah-pesalah yang berpengaruh akan dilindungi jika memberi impak positif kepada kuasa dan kedudukan pemimpin. Sekiranya ia menggugat kuasa dan pengaruh maka barulah proses penghakiman berbentuk ‘arahan atasan yang berkepentingan’ dilaksanakan.
            Apabila keadilan tidak terlaksana dalam kehidupan bernegara maka kesan kepada kehidupan umat yang bernaung di bawah pemerintahan akan mencetuskan pelbagai ketegangan emosi  dan kegelisahan. Allah SWT telah memberi peringatan dan amaran terhadap manusia yang bersikap zalim.
Allah SWT berfirman;
Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim!
                                                                                                                                    (Surah Hud 11: 18)
Firman Allah:
Dan ingatlah Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
                                                                                                                        (Surah ali-‘Imran 3:57)
Firman Allah:                                                                          
Dan kami timpakan orang-orang yang zalim dengan siksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasiq (durhaka).
 (Surah al-A’Raf 7:165)
Prinsip keadilan juga telah diperkatakan oleh pemikir dan ahli falsafah Yunani sejak zaman lampau lagi. Plato menegaskan bahawa keadilan amat penting kepada negara. Keadilan merupakan asas kepada pemerintahan seperti yang diungkapan “Justice is the organizing principle of the ideal state”. Sementara seorang ahli falsafah Kristian yang terkenal, Saint Augustine membicarakan bahawa jika prinsip keadilan tidak ditegakkan dalam sesebuah negara implikasinya berlaku perompakan dan penyelewengan yang dahsyat. Manakala seorang ahli falsafah Yunani, Aristotle menekankan bahawa manusia tanpa hukum dan keadilan adalah lebih rendah tarafnya daripada haiwan.






Jawatan Sebagai Amanah

Dunia Islam kini terpalit dengan pelbagai kerosakan nilai agama oleh umatnya yang semakin jauh daripada petunjuk Al-Quran dan Sunah yang menyebabkan maruah penganutnya dipandang rendah dan diperlekehkan. Sesetengah negara umat Islam dicemari dengan pelbagai kemungkaran dalam urus tadbir negara meliputi kepimpinan atasan sehingga ke peringkat bawahan. Kebejatan akhlak yang melanda pemimpin Islam dan sebahagian rakyatnya seperti  amalan rasuah cukup mengaibkan. Rasuah merupakan amalan keji yang sangat dtegah oleh agama. Amalan rasuah dianggap perkara biasa dalam aktiviti kehidupan mengejar matlamat kebendaan, kuasa dan pangkat. Manusia sama ada sedar atau tidak bahawa gejala rasuah ibarat barah yang akan melumpuhkan pembangunan fizikal dan kemanusiaan. Pengamal rasuah tergolong dalam kelompok manusia yang mengkhianati amanah rakyat dan meghancurkan negara. Apabila sesuatu institusi diresapi dengan amalan rasuah maka akan berlaku kepincangan. Bidang kehakiman umpamanya merupakan institusi penting untuk merealisasikan keadilan serta perlindungan kepada rakyat. Apabila institusi ini sudah dipengaruhi oleh tangan-tangan jahat maka tidak hairanlah penjenayah boleh terlepas daripada hukuman, manakala pegawai tinggi dan pemimpin yang berpengaruh pula menjadi kebal daripada tindakan undang-undang. Manusia dengan kemewahan boleh membeli dan membidakkan undang-undang. Apabila undang-undang tidak dihormati dan menjadi barang dagangan, maka wujudlah kezaliman, penindasan dan ketidakadilan dalam masyarakat dan negara. Manusia yang berpengaruh dan mempunyai kekuatan ringgit akan mudah menjentik sesiapa sahaja yang cuba membongkar kemungkaran dan kedurjanaan yang dilakukan. Rasullulah telah mengingatkan tentang sikap hakim dalam melaksanakan keadilan, dalam sabda baginda;       
Artinya; “Dari Abi Buraidah, dari bapaknya, dari Nabi saw, ia bersabda; Hakim itu ada tiga golongan: Satu golongan di syurga, sedangkan yang Dua golongan di neraka. Ada pun hakim yang berada di syurga itu ialah Hakim yang mengetahui kebenaran, lalu ia menghukum berdasarkan Kebenaran itu. Sedangkan hakim yang mengetahui kebenaran itu. tapi Dia menyeleweng (dari kebenaran itu) dalam keputusannya, maka ia Berada di neraka. Dan hakim yang memutuskan perkara terhadap orang orang lain dengan berdasarkan kebodohannya, maka dia pun di neraka”.
Seseorang hakim mestilah melaksanakan penghakiman tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Hakim pula jangan terlibat menerima sebarang sogokan atau suapan, kerana ia merosakkan institusi yang mulia itu. Rasulullah saw bersabda;
Artinya: “Dari Abu Hurairah, ia berkata bahawa Rasullulah saw bersabda: “Laknat Allah akan menimpa orang yang menyuap dan yang menerima suap dalam masalah hukum.”                                                                                (H.R.Ahmad,Abu Dawud,dan Tirmidzi)

Betapa buruk dan bahayanya amalan rasuah dan salah guna kuasa itu.Persoalan amanah merupakan persoalan besar dalam konteks kepimpinan sama ada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Apabila pemimpin tidak beramanah berlakulah pelbagai bentuk penyelewengan sama ada besar atau kecil. Gejala rasuah merupakan hasil daripada amalan manusia yang mensia-siakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Dalam konteks negara Malaysia, persoalan rasuah kini merupakan barah kehidupan yang merebak sama ada dalam organisasi politik, Perkhidmatan Awam dan Sektor Swasta. Kita dikejutkan oleh laporan Ketua Audit Negara tentang pelbagai tuntutan atau perbelanjaan yang tidak masuk akal. Keadaan ini menggambarkan betapa seriusnya penyelewengan dan merosakkan Etika Perkidmatan Awam. Seorang pegawai atasan umpamanya boleh melutut di kaki seorang ‘tauke’ dan mengikut sahaja kehendak tuannya untuk meluluskan sesuatu permohonan lantaran sudah kekenyangan dengan hasil haram melalui proses “bawah meja”. Rakyat dan pemimpin perlu menjunjung dan berpegang kepada prinsip-prinsip Rukun Negara. Kepercayaan kepada tuhan merupakan tonggak kepada empat prinsip Rukun Negara yang telah digubal untuk menjamin kesejahteraan dan keharmonian hidup rakyat. Apabila pemimpin umat Islam merestui dan turut bersekongkol dengan amalan rasuah sudah tentulah berlakunya penodaan terhadap prinsip yang mulia itu. Apabila keadaan ini berlaku maka akan rosaklah sistem bernegara dan menjurus  ke arah ketidakstabilan dan keharmonian hidup. Rukun Negara sekadar lambang-lambang tulisan yang kaku dalam sanubari warganya. Akibatnya negara akan mengalami pelbagai krisis yang menyusahkan kehidupan rakyat keseluruhannya. Manusia yang beriman dan bertakwa akan sentiasa mengaitkan jawatan dengan hubungannya dengan Allah. Jawatan merupakan amanah besar yang perlu digalas dengan penuh rasa tangungjawab dan padah yang akan diterima di akhirat nanti sekiranya mencabuli amanah tersebut.
“Umar bin Abdul Aziz sewaktu dilantik memegang jawatan lantas berkata:
“Wahai manusia, sesungguhnya aku hanyalah salah seorang daripada kamu tetapi Allah telah menjadikan aku lebih berat bebanan daripada kamu”.
Ungkapan khalifah Umar itu cukup memberi ingatan betapa jawatan yang disandang merupakan satu amanah besar yang mesti ditunaikan atas prinsip keimanan dan ketauhidan kepada Allah. Pemimipin harus insaf bahawa status “Yang Berhormat” atau wakil rakyat dan seumpamanya ialah untuk melaksanakan amanah perkhidmatan yang diwakilkan kepada mereka oleh rakyat yang meletakkan beban amanah kepada mereka melalui proses pilihanraya. Wakil rakyat jangan berasa bongkak dan megah dengan gelaran yang diberi kerana kuasa yang mereka miliki adalah kuasa rakyat. Wakil Rakyat sepatutnya sedar bahawa mereka hanya “khadam” kepada rakyat yang memilih mereka. Maka wakil rakyat mesti bekerja bersungguh-sungguh untuk membela nasib dan menyelesaikan permasalahan rakyat. Adalah suatu kesilapan dan tidak bertanggungjawab apabila ada wakil rakyat yang dipilih mula mengintai peluang untuk kepentingan diri.
Tidak hairanlah ada di kalangan pemimpin baru sahaja mengangkat sumpah menjadi wakil rakyat sudah menampakkan perubahan kepada diri sendiri dengan gaya hidup mewah dan kadangkala luar biasa kemewahannya. Pemimpin seumpama ini barangkali tidak pernah menyingkap teladan kepimpinan Islam seperti yang ditunjukkan dalam sejarah pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz dan Khalifah Umar Al Khatab. Khalifah Islam yang hebat itu hidup dalam keadaan yang cukup sederhana dan amat berhati-hati dengan kuasa yang dimiliki agar tidak melanggar batas-batas syariat misalnya dalam soal perbelanjaan amat berhati-hati agar tidak menyalahgunakan harta kepunyaan rakyat. Apabila pemimpin yang dipilih bertindak sebagai pengkhianat kepada amanah yang diberi mana mungkin ia dapat menjaga amanah rakyat dan menjamin kesejahteraan umat yang dipimpin. Tidak hairanlah apabila seorang penyair mengungkap sinis terhadap sikap pemimpin seumpama ini dalam lewat syairnya yang berbunyi:            
“Pengembala kambing menjaganya daripada serigala, maka bagaimanakah  sekiranya pengembala itu adalah serigalanya?”