Bersama Eratkan Rakyat Sanggah
Institusi Hitam ( Siri Ketiga )
Wajah pertiwi kumal dek petualang
demokrasi menggalang peluang
Mercupnya sinar keemasan jelata menggusur anasir hanyir
yang
lama menyebar cemar pada udara
keadilan watan
Bersemarak GERAK raksasa merengkuh sombong sang diktator
tua
Lebih sedekad lalu dengan tekad yang
padu dan jitu
Dalam
episod bergulir kita palitkan seri kuning pertama
pada kitab Al-Hadhari karya Sang Perdana yang sering terlena ,
menggertak
dari singgahsana Putrajaya “ Saya
pantang dicabar” terlentang disambar
kilasan rakyat pada November 07 dalam
himpunan aman penuh budiman
Di sambut semburan MESRA , CEPATnya
belantan serta BETUL nya meratah dengan
perintah
Aparat
penguasa yang memijak akal budi dengan sepatu keangkuhan kuasa
di atas aspal yang menakung keringat semangat dan
darah pasrah para demonstran
Yang Maha Merancang menjawab doa rakyat kerdil
yang dizalimi ini pada PRU ke 12
Cukung
kuasa meracau kesusutan laba untuk
ditimbang dengan dacing antiknya
keris bogel kurang kesaktiannya untuk terus dijulang di kerusi parlimen
Sang Perdana direntap
mahkota oleh rakan sepasukan yang
kemaruk jawatan
BERSIH SATU menghantar isyarat kepada
penguasa bahawa
“Kekuasaan bisa berada di hujung sakarat
jika masih bersikap keparat”
Namun kekuasaan dalam genggaman si rakus
hanya mengitar episod kesombongan
Kekal
menjadi beban sejarah yang tidak diinsafi tetapi diulangi
Bertahta Sang Perdana baharu dengan ratib Satu Malaysia
Suami mithali dengan sihir
tranformasi
berganding bersama isteri penuh gengsi
‘Ratu Pertama’ berbusana jenama ‘ Boros Negara’
maka
keadilan yang telah tempang kini kepatahan
topang
tambah kalut dan karut sistem
tadbir yang kecamuk
Kuasa
yang sah disamun dengan taktik penuh
kejijikan
Mandat rakyat diinjak sutradara hukum di pentas sandiwara mahkamah
Perlembagaan jadi perkakas propaganda licik ketuanan bangsa
Demokrasi bagai jembalang bermusim yang dijamu lima tahun sekali
Kemudian dipaksa tidur untuk bangun
semula sepenggal lagi
Khazanah negara difaraid sesama kerabat mengisi tembolok yang pelahap
Setelah menekup telinga pada loceng amaran rakyat
sergahan BERSIH Satu kian sayup di
cuping kematu
Paluan genta BERSIH Dua bersiponggang menggegar massa
Gemerincing gemanya menjerkah ego sang penguasa
yang sasau meracau diserang demam kuning
lalu perang kepada warna paling khianat dan derhaka dilancarkan
Soldadu penjilat dikerah menggugah penjarah
Putrajaya
Segala anasir kuning mesti dipasung dan dipancung
Baju
kuning, kain kuning, gigi kuning
hatta najis kuning sekalipun
harus digempur
Penguasa berbaju singa berhati tikus mengisytiharkan
‘Hari Tanpa Kuning’ Satu Malaysia
Namun 9 Julai 2011 warna kuning membungkus jiwa
Menjadi perisai berdada dengan amukan gila para Penjilat
Perdana
Warna ras, warna agama, warna usia serta warna segala jelata
Berderap gagah atas paduan satu warna
warna waja watan meladeni kezaliman penuh keazaman
Para demonstran berhati liat bergulat dengan aparat keparat
Sejarah pengorbanan tercatat dengan tinta emas berkemilauan
pada kamus juang yang ditempa dengan air mata, darah dan nyawa
Ah, dengan bahasa apakah lagi
menggempur tembok hati
yang diawet dengan pasak pejal keangkuhan
tuntutan murni berbalas tingkah tolol penuh kebahlolan
warga haram tanpa permit kerja namun
punya permit memilih pentadbir negara
rumah teres yang cukup umur tersenarai
sebagai pemilih berdaftar
para roh bergentayangan menunggu masa
membuang undi
ruang demokrasi hanya berlegar di hujung gigi para menteri
peraturan pilihanraya tersadai di atas
dacing kekuasaan
SPR
jadi kuda pacu penguasa di padang rata tetapi berbonggol buat lawannya
Maka
panji kuning tiga ditancapkan
buat menjegil penguasa yang degil
Langit Kuala Lumpur, 28 April merentang dirgahayu keadilan nusa
Ratusan Ribu kuntuman kuning berserakan
di dada Metropolitan
angkasa saujana menampan gema
tuntutan jelata
“BERSIH, rawat sistem
pilihanraya yang gawat”
“BERSIH, pulih kotoran
pilihanraya menjadi jernih “
“BERSIH,
keadilan yang sengsara menjadi saksama”
“BERSIH, demokrasi yang lumpuh menjadi
ampuh
Dataran Merdeka berkalung kawat duri
menyambut perjuangan kemerdekaan kali
kedua
Bermulalah
tayangan aksi dunia ketiga
Kisah berjudul ‘Duduk Dan Bantah’
ditukar tajuk secara paksa kepada ‘Tunduk Dan Bantai’
Robot-robot tanpa
jiwa, model biru tua ‘ Penegak Keamanan
‘
Ber Tranformasi menjadi
‘Pembuli Jalanan’
Rakyat didahulukan pancutan kimia,
tumbukan waja dan tendangan perkasa
Pencapaian diutamakan maka penggugat
mesti ditumpaskan
Lantas warna kuning berbaur dengan
percikan darah bahana keganasan
Medan himpun aman bertukar menjadi
gelanggang pembelasahan
Media penjilat mencetak kemunafikan dari
kantor kilang propaganda
Lidah pendusta berita perdana menjaring
fitnah penuh serakah
Para menteri menyeringai dengan taring
kuasa menyeranah penderhaka
Namun banjir kuning telah memecah
empangan sejarah
Likat warnanya telah melumuri keangkuhan kaki kekuasaan
Semangat rakyat telah dilangiri aliran
keramatnya
Sang
Penguasa hanya bisa merencana makar
Namun
hanya Yang Maha Berkuasa mampu
melakar
takdir
yang ditadbir oleh keagungan Kursi-Nya
Kini ‘Duduk dan Bantah telah ‘Berdiri dan Gagah’
Pemimpin
dan segenap watan berganding
Bersama
Eratkan
Rakyat
Sanggah
Institusi
Hitam.
Karya : AZIZI HJ. GHAZALI
No comments:
Post a Comment