Thursday, August 9, 2012


Jawatan Sebagai Amanah

Dunia Islam kini terpalit dengan pelbagai kerosakan nilai agama oleh umatnya yang semakin jauh daripada petunjuk Al-Quran dan Sunah yang menyebabkan maruah penganutnya dipandang rendah dan diperlekehkan. Sesetengah negara umat Islam dicemari dengan pelbagai kemungkaran dalam urus tadbir negara meliputi kepimpinan atasan sehingga ke peringkat bawahan. Kebejatan akhlak yang melanda pemimpin Islam dan sebahagian rakyatnya seperti  amalan rasuah cukup mengaibkan. Rasuah merupakan amalan keji yang sangat dtegah oleh agama. Amalan rasuah dianggap perkara biasa dalam aktiviti kehidupan mengejar matlamat kebendaan, kuasa dan pangkat. Manusia sama ada sedar atau tidak bahawa gejala rasuah ibarat barah yang akan melumpuhkan pembangunan fizikal dan kemanusiaan. Pengamal rasuah tergolong dalam kelompok manusia yang mengkhianati amanah rakyat dan meghancurkan negara. Apabila sesuatu institusi diresapi dengan amalan rasuah maka akan berlaku kepincangan. Bidang kehakiman umpamanya merupakan institusi penting untuk merealisasikan keadilan serta perlindungan kepada rakyat. Apabila institusi ini sudah dipengaruhi oleh tangan-tangan jahat maka tidak hairanlah penjenayah boleh terlepas daripada hukuman, manakala pegawai tinggi dan pemimpin yang berpengaruh pula menjadi kebal daripada tindakan undang-undang. Manusia dengan kemewahan boleh membeli dan membidakkan undang-undang. Apabila undang-undang tidak dihormati dan menjadi barang dagangan, maka wujudlah kezaliman, penindasan dan ketidakadilan dalam masyarakat dan negara. Manusia yang berpengaruh dan mempunyai kekuatan ringgit akan mudah menjentik sesiapa sahaja yang cuba membongkar kemungkaran dan kedurjanaan yang dilakukan. Rasullulah telah mengingatkan tentang sikap hakim dalam melaksanakan keadilan, dalam sabda baginda;       
Artinya; “Dari Abi Buraidah, dari bapaknya, dari Nabi saw, ia bersabda; Hakim itu ada tiga golongan: Satu golongan di syurga, sedangkan yang Dua golongan di neraka. Ada pun hakim yang berada di syurga itu ialah Hakim yang mengetahui kebenaran, lalu ia menghukum berdasarkan Kebenaran itu. Sedangkan hakim yang mengetahui kebenaran itu. tapi Dia menyeleweng (dari kebenaran itu) dalam keputusannya, maka ia Berada di neraka. Dan hakim yang memutuskan perkara terhadap orang orang lain dengan berdasarkan kebodohannya, maka dia pun di neraka”.
Seseorang hakim mestilah melaksanakan penghakiman tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Hakim pula jangan terlibat menerima sebarang sogokan atau suapan, kerana ia merosakkan institusi yang mulia itu. Rasulullah saw bersabda;
Artinya: “Dari Abu Hurairah, ia berkata bahawa Rasullulah saw bersabda: “Laknat Allah akan menimpa orang yang menyuap dan yang menerima suap dalam masalah hukum.”                                                                                (H.R.Ahmad,Abu Dawud,dan Tirmidzi)

Betapa buruk dan bahayanya amalan rasuah dan salah guna kuasa itu.Persoalan amanah merupakan persoalan besar dalam konteks kepimpinan sama ada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Apabila pemimpin tidak beramanah berlakulah pelbagai bentuk penyelewengan sama ada besar atau kecil. Gejala rasuah merupakan hasil daripada amalan manusia yang mensia-siakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Dalam konteks negara Malaysia, persoalan rasuah kini merupakan barah kehidupan yang merebak sama ada dalam organisasi politik, Perkhidmatan Awam dan Sektor Swasta. Kita dikejutkan oleh laporan Ketua Audit Negara tentang pelbagai tuntutan atau perbelanjaan yang tidak masuk akal. Keadaan ini menggambarkan betapa seriusnya penyelewengan dan merosakkan Etika Perkidmatan Awam. Seorang pegawai atasan umpamanya boleh melutut di kaki seorang ‘tauke’ dan mengikut sahaja kehendak tuannya untuk meluluskan sesuatu permohonan lantaran sudah kekenyangan dengan hasil haram melalui proses “bawah meja”. Rakyat dan pemimpin perlu menjunjung dan berpegang kepada prinsip-prinsip Rukun Negara. Kepercayaan kepada tuhan merupakan tonggak kepada empat prinsip Rukun Negara yang telah digubal untuk menjamin kesejahteraan dan keharmonian hidup rakyat. Apabila pemimpin umat Islam merestui dan turut bersekongkol dengan amalan rasuah sudah tentulah berlakunya penodaan terhadap prinsip yang mulia itu. Apabila keadaan ini berlaku maka akan rosaklah sistem bernegara dan menjurus  ke arah ketidakstabilan dan keharmonian hidup. Rukun Negara sekadar lambang-lambang tulisan yang kaku dalam sanubari warganya. Akibatnya negara akan mengalami pelbagai krisis yang menyusahkan kehidupan rakyat keseluruhannya. Manusia yang beriman dan bertakwa akan sentiasa mengaitkan jawatan dengan hubungannya dengan Allah. Jawatan merupakan amanah besar yang perlu digalas dengan penuh rasa tangungjawab dan padah yang akan diterima di akhirat nanti sekiranya mencabuli amanah tersebut.
“Umar bin Abdul Aziz sewaktu dilantik memegang jawatan lantas berkata:
“Wahai manusia, sesungguhnya aku hanyalah salah seorang daripada kamu tetapi Allah telah menjadikan aku lebih berat bebanan daripada kamu”.
Ungkapan khalifah Umar itu cukup memberi ingatan betapa jawatan yang disandang merupakan satu amanah besar yang mesti ditunaikan atas prinsip keimanan dan ketauhidan kepada Allah. Pemimipin harus insaf bahawa status “Yang Berhormat” atau wakil rakyat dan seumpamanya ialah untuk melaksanakan amanah perkhidmatan yang diwakilkan kepada mereka oleh rakyat yang meletakkan beban amanah kepada mereka melalui proses pilihanraya. Wakil rakyat jangan berasa bongkak dan megah dengan gelaran yang diberi kerana kuasa yang mereka miliki adalah kuasa rakyat. Wakil Rakyat sepatutnya sedar bahawa mereka hanya “khadam” kepada rakyat yang memilih mereka. Maka wakil rakyat mesti bekerja bersungguh-sungguh untuk membela nasib dan menyelesaikan permasalahan rakyat. Adalah suatu kesilapan dan tidak bertanggungjawab apabila ada wakil rakyat yang dipilih mula mengintai peluang untuk kepentingan diri.
Tidak hairanlah ada di kalangan pemimpin baru sahaja mengangkat sumpah menjadi wakil rakyat sudah menampakkan perubahan kepada diri sendiri dengan gaya hidup mewah dan kadangkala luar biasa kemewahannya. Pemimpin seumpama ini barangkali tidak pernah menyingkap teladan kepimpinan Islam seperti yang ditunjukkan dalam sejarah pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz dan Khalifah Umar Al Khatab. Khalifah Islam yang hebat itu hidup dalam keadaan yang cukup sederhana dan amat berhati-hati dengan kuasa yang dimiliki agar tidak melanggar batas-batas syariat misalnya dalam soal perbelanjaan amat berhati-hati agar tidak menyalahgunakan harta kepunyaan rakyat. Apabila pemimpin yang dipilih bertindak sebagai pengkhianat kepada amanah yang diberi mana mungkin ia dapat menjaga amanah rakyat dan menjamin kesejahteraan umat yang dipimpin. Tidak hairanlah apabila seorang penyair mengungkap sinis terhadap sikap pemimpin seumpama ini dalam lewat syairnya yang berbunyi:            
“Pengembala kambing menjaganya daripada serigala, maka bagaimanakah  sekiranya pengembala itu adalah serigalanya?”





No comments:

Post a Comment