Thursday, August 9, 2012


Pemimpin dan Prinsip Keadilan

Keadilan merupakan tonggak kekuatan dan kesejahteraan yang mendasari urusan kehidupan umat terutama dalam konteks menjunjung prinsip keluhuran undang-undang yang menjamin hak dan pembelaan hak rakyat yang bernaung di bawah kuasa kepimpinannya. Apabila keadilan tidak terlaksana dalam urusan kehidupan umat, natijahnya berlaku pergolakan jiwa yang membawa kepada penentangan sama ada melalui kuasa rakyat secara proses demokrasi ataupun melalui cara yang bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan. Kemungkinan ada kelompok atau individu yang merasa haknya tidak terbela dan dijamin dalam perlembagaan dan keadilan undang-undang merasa tertindas dan tidak mendapat keadilan, tidak mustahil berlaku tindakan-tindakan bersifat keganasan untuk menyuarakan penentangan akibat kezaliman yang mencengkam perasaan. Islam amat menekan keadilan dalam menyelesaikan kemelut manusia terutama keadilan penguasa atau pemerintah. Apabila terlaksana prinsip keadilan dalam pemerintahan, rakyat umumnya merasai kehidupan yang selesa, selamat di bawah payung pemerintahan yang adil. Rakyat akan bersedia memberi baiah dengan hati yang penuh rela. Islam telah memberi peringatan dan amaran tentang prinsip keadilan.
            Allah SWT berfirman;
Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu sebagai penegak kerana Allah secara adil, sebagai saksi-saksi yang adil dan janganlah hendaknya kerana kezaliman sesuatu kaum itu membuatkan kamu tidak berlaku adil, bercakap adillah, kerana keadilan itu adalah lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah”.
Keadilan merupakan tuntutan agama kerana Alah memerintahkan manusia berlaku adil. Sesunggunya keadilan  itu menjurus kepada sifat takwa. Jangan sekali-kali orang-orang yang beriman berlaku tidak adil terhadap sesuatu kaum lantaran kesalahan yang mereka lakukan. Pertembungan politik antara kumpulan umat Islam, jangan sampai satu puak melihat sehitam-hitamnya puak lawannya sehingga tidak ada langsung kebaikan yang dilakukan untuk kebaikan umat. Jangan ada pula satu puak yang langsung tidak mahu menerima apa jua teguran dan membuat tuduhan-tuduhan melulu atas alasan bermotif politik. Akibat pertembungan politik juga sehingga berlaku ketaksuban kepartian sehingga sangup menzalimi rakyat yang sebangsa dan seagama. Di manakah letaknya persaudaraan Islam sedangkan Al Quran menjelaskan bahawa umat Islam itu bersaudara. Kita bersolat dan berpuasa sebagai memenuhi tuntutan agama tetapi dalam masa yang sama melakukan kezlaliman terhadap manusia seperti menyekat bantuan atau peruntukan terhadap kelompok yang tidak sehaluan. Jelas perbuatan tersebut bercanggah dengan prinsip keadilan. Pemimpin yang diberi tanggungjawab untuk menjalankan amanah Allah mesti lah berlaku jujur dan tidak menyalahguna kuasa. Perlanggaran tehadap amanah ini menyebabkan tertimpa hukum ke atasnya dalam bentuk “haram ia dimasukkan ke syurga”. Ketentuan hukum ini disebut dalam Hadis Nabi saw yang berbunyi;
           
Artinya; ”Tidaklah seorang pemimin (khalifah) yang dituntun tuhannya supaya menuntun rakyatnya, kemudian ia mati kerana telah sampai ajalnya padahal ia telah menyeleweng dalam kepimpinannya itu, kecuali Allah mengharamkan syurga baginya”
                                                                                                                                                (H.R.Muslim)
Sesungguhnya Allah amat mengasihi pemimpin yang adil ialah pemerintah (khalifah) yang berlaku adil terhadap rakyat di bawah kekuasaan pemerintahannya, hatta rakyat  bukan  Islam yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Peringatan kepada pemimpin supaya berlaku adil dan tidak menzalimi rakyat telah diberitahu oleh Rasulullah  melalui hadis-hadis baginda. Rasulullah bersabda;
Artinya; “Makhluk yang paling dicintai tuhan adalah adalah imam (khalifah) yang adil, dan yang paling dibenci oleh Allah adalah imam (khalifah) yang zalim”.
                                                                                                            (Hadis dalam Musnad Imam Hambal)
Artinya; “Satu hari bagi imam (khalifah) yang adil lebih baik beribadah enam puluh tahun”.
            Berdasarkan dua hadis tersebut Islam amat amat menekan keadilan demi kesejahteraan manusia sejagat. Dalam konteks Negara, pemimpin mesti bersifat adil mengikut ketentuan syarak. Pemimpin yang zalim amat dibenci Allah. Jika Allah membenci pemimpin yang zalim, amat janggal kiranya ada manusia yang menjulang pemimpin yang zalim serta mengagung-agungkannya. Apakah manusia sudah bertuhankan manusia, dengan membelakangkan Allah dan RasulNya? Umat Islam jangan bertindak berdasarkan pemikirannya sahaja tetapi mesti kembali merujuk kepada pengajaran agama yang dibawa oleh Rasullullah saw agar  umat Islam tidak tersesat dan terpedaya.
            Dalam melaksanakan proses keadilan, Islam tidak mengira pangkat dan keturunan. sesiapa sahaja yang bersalah sama ada rakyat biasa atau pemimpin mesti dibawa ke kamar pengadilan  tanpa tindakan berpilih. Hakim mestilah melaksanakan amanah perundangan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Ketidakadilan akan berlaku dan menimbulkan kegelisahan umum apabila rakyat biasa yang bersalah menerima hukuman tetapi pemimpin-pemimpin besar terlepas kerana kuasa dan pengaruh. Rasullulah mengingatkan tentang keadilan dalam melaksanakan sesuatu hukuman. Baginda bersabda dalam khutbahnya;
“Hai sekelian manusia, sesungguhnya telah hancur orang-orang sebelum kamu kerana apabila ada orang bangsawan di antara mereka mencuri, mereka membebaskannya. Tetapi apabila ada orang lemah (rakyat biasa) di antara mereka mencuri mereka menjatuhkan hukuman ke atasnya”.
            Peringatan Rasullullah itu cukup serius tentang bagaimana umat-umat dahulu mengalami kehancuran lantaran berlaku ketidakadilan dalam penghakiman. Rakyat dizalimi dan tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Sesuatu bangsa atau negara itu akan mengalami krisis kemanusiaan yang parah apabila penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh golongan bangsawan, pemimpin, pegawai atasan dilindungi atas kepentingan keduniaan dengan membelakangkan tuntutan agama. Apabila manusia memelihara penyelewengan orang-orang besar dan mengenakan tindakan kepada orang-orang kecil sahaja, sebenarnya ia menempah kemurkaan Allah dan menunggu saat dan ketika untuk diberi pembalasan oleh Allah.
Pemimpin yang melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa, para ulama dan cendiakawan muslim berpendapat pemimpin begini harus dilucutkan jawatan kerana tidak beramanah dan rakyat terutama yang memahami tuntutan dan syariat agama tidak perlu menyokong atau memilih pemimpin yang khianat kepada rakyat. Dalam konteks ini Al-Ghazali mengutarakan dua bentuk kekuasaan khalifah yang harus dihentikan, iaitu;
A) Khalifah Zulm, iaitu khalifah yang menjalankan politik tirani, yang bertentangan dengan keadilan dan kehendak rakyat.
B) Khalifah Ghairal Syaubah, yakni khalifah yang tidak mampu menjalankan kebijakan politik  yang adil, yang digariskan oleh syariat dan rakyat.
Berdasarkan keterangan-keterangan Al Quran dan hadis ulama –ulama golongan sunni melihat bahawa pemimpin seumpama ini boleh merosakkan negara dan agama. Dalam konteks pemimpin yang diangkat melalui proses pilihanraya maka sewajarnya rakyat bangun dengan mengenepikan bentuk kepimpinan ini melalui proses yang diizinkan dalam perlembagaan. Rasulullah sebagai model kepimpinan, telah menjadikan Madinah sebagai model pemerintahan terunggul yang benar-benar berpegang kepada prinsip keadilan. Piagam Madinah itu sendiri telah menterjemahkan bagaimana Baginda junjungan besar Muhammad s.a.w. melaksanakan keadilan dalam pemerintahan yang di dalamnya terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam. Perjuangan atas dasar perjuangan bangsa semata-mata tidak mungkin merealisasikan prinsip keadilan dalam pemerintahan. Kemuliaan dan kemegahan tamadun bangsa tidak membawa makna apa-apa selagi prinsip keadilan tidak dilihat dalam ruang lingkup syariat Islam. Keadilan pemerintahan  seperti yang dirakamkan dalam sirah para nabi dan rasul serta para sahabat untuk umat manusia dan Islam khususnya mengambil iktibar, pedoman sebagai asas menerajui kepimpinan umat dan negara. Rasulullah dalam suatu peristiwa yang dihadapkan kepada baginda dengan sabdanya;”
Jika anakku Fatimah yang mencuri, nescaya akan kupotongTangannya”.
Hadis ini menggambarkan dalam proses melaksanakan keadilan, Rasulullah tidak mimilih sahabat, keturunan dan pangkat. Sesiapa sahaja yang bersalah pasti menerima hukuman. Amat malang jika di zaman ini pemimpin Islam melindungi pesalah-pesalah demi menjaga pengaruh dan kuasanya tidak tergugat.Bahkan proses melaksanakan keadilan kadang kala berpilih.Rakyat yang kerdil akan pantas dihukum, tetapi pesalah-pesalah yang berpengaruh akan dilindungi jika memberi impak positif kepada kuasa dan kedudukan pemimpin. Sekiranya ia menggugat kuasa dan pengaruh maka barulah proses penghakiman berbentuk ‘arahan atasan yang berkepentingan’ dilaksanakan.
            Apabila keadilan tidak terlaksana dalam kehidupan bernegara maka kesan kepada kehidupan umat yang bernaung di bawah pemerintahan akan mencetuskan pelbagai ketegangan emosi  dan kegelisahan. Allah SWT telah memberi peringatan dan amaran terhadap manusia yang bersikap zalim.
Allah SWT berfirman;
Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim!
                                                                                                                                    (Surah Hud 11: 18)
Firman Allah:
Dan ingatlah Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
                                                                                                                        (Surah ali-‘Imran 3:57)
Firman Allah:                                                                          
Dan kami timpakan orang-orang yang zalim dengan siksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasiq (durhaka).
 (Surah al-A’Raf 7:165)
Prinsip keadilan juga telah diperkatakan oleh pemikir dan ahli falsafah Yunani sejak zaman lampau lagi. Plato menegaskan bahawa keadilan amat penting kepada negara. Keadilan merupakan asas kepada pemerintahan seperti yang diungkapan “Justice is the organizing principle of the ideal state”. Sementara seorang ahli falsafah Kristian yang terkenal, Saint Augustine membicarakan bahawa jika prinsip keadilan tidak ditegakkan dalam sesebuah negara implikasinya berlaku perompakan dan penyelewengan yang dahsyat. Manakala seorang ahli falsafah Yunani, Aristotle menekankan bahawa manusia tanpa hukum dan keadilan adalah lebih rendah tarafnya daripada haiwan.





No comments:

Post a Comment