Sunday, June 17, 2012







Agama Dan Poltik

            Islam merupakan Ad-din yang mencakup seluruh bidang kehidupan manusia termasuklah bidang politik. Agama dan politik tidak boleh dipisahkan. Politik (kuasa) bertujuan mengurus negara dan rakyat. Oleh itu politik mesti berada dalam lingkungan Islam. Islam Seorang ulama terkenal bernama Al-Biruni menjelaskan dalam bukunya “ Tahqiq ma li al-Hind min Maqulah, berkata “sesebuah negara jika bersandar pada salah satu sisi agama, maka negara dan agama akan menjadi saudara kembar, kemudian pembangunan akan tercapai secara sempurna berkat kewujudan agama dan negara secara bersamaan”.
            Mengurus dan memimpin umat adalah satu kewajipan yang besar dalam agama. Umat memerlukan kepimpinan yang boleh membawa umat kepada kebahgiaan akhirat dan dunia. Al –Imam Ibn Taimiyah berkata dalam al-Siyasah al-Syar’ieyah:

“Wajib diketahui bahawa memimpin urusan manusia adalah termasuk kewajipan agama yang paling besar, bahkan tidak akan bangun agama dan dunia melainkan dengannya. Sesungguhnya tidak sempurna maslahat anak adam kecuali dengan berkumpulan (bermasyarakat) kerana mereka saling memerlukan sesama mereka. Setiap perkumpulan itu mestilah ada ketua”.

            Negara yang diperintah tanpa berpegang kepada petunjuk agama akan membawa kepada kegelapan umat dan menjurus kepada kesesatan. Syeikh Muhammad al Khidr Husain (Syeikh Al Azhar) menggunakan istilah dhalalah (kesesatan) bagi mengungkapkan tindakan memisahkan agama daripada politik. Dalam bukunya yang berjudul “Rasa’il al Islah ada dua golongan yang mempunyai keinginan memisahkan agama dan politik. Ruangan ini sekadar memetik golongan yang pertama. Golongan ini mengakui bahawa di antara ajaran agama ada yang mengandungi hukum mahu pun politik, tetapi mereka menyatakan bahawa ajaran tersebut tidak sesuai lagi digunakan pada masa kini. Kerana itu mereka berusaha memisahkan agama daripada politik. Mereka menganggap bahawa Islam hanya berkaitan dengan tauhid dan ibadah, mereka mengingkari hakikat adanya ajaran yang berkaitan dengan hukum dan politik. Mereka terus meniupkan syubahat dengan harapan ada orang-orang bodoh yang terpengaruh dengan usaha mereka itu.
            Syeikh Al-Khidr menjelaskan banyak dalil yang menunjukkan bahawa Al Quran sangat mempraktikkan urusan muamalah dan mengandungi petunjuk politik bagi pemerintah. Allah yang mencipta manusia dan seluruh alam dan segala urusan manusia ada diberi petunjuk untuk mentadbir alam. Al Quran yang diturunkan sebagai pedoman kepada kehidupan manusia. Apakah umat Islam lebih yakin kepada hukum-hukum ciptaan manusia dengan memperlekeh hukum-hukum yang terkandung dalam syariat Islam. Apabila wujud perasaan tidak yakin terhadap syariat Islam beerti manusia Islam itu telah merosakkan tahap keimanannya. Allah SWT berfirman;

“Adakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin”
(Al-Maidah:50
Keghairahan manusia untuk memegang tampuk kuasa dengan membelakangkan peringatan dan ajaran agama menjadikan politik medan tempur yang diselaputi pelbagai kebangsatan akhlak, kezaliman, penindasan, fitnah dan penipuan. Budaya fitnah pula menjadi subur dan berlegar dalam masyarakat. Masyarakat Islam yang jahil syariat dan gersang keimanannya  menerima  sesuatu berita tanpa menyiasat atau menyelidiki terlebih dahulu tentang kesahihannya. Allah telah memperingatkan melalui Al Quran tentang kesan mempercayai berita yang disebar oleh golongan munafik. Bahaya fitnah memberi implikasi yang sangat buruk terhadap masyarakat dan negara. Perbuatan keji ini boleh memporak perandakan masyarakat. Bahkan golongan munafik  yang  menyebar fitnah mengheret orang lain terjebak sama menanggung dosa. Umat Islam yang tidak mengambil peringatan wahyu  akhirnya mengundang kerugian dan penyesalan.
Namun sifat dan tindak-tanduk manusia yang muflis akhlak itu akan berterusan menggunakan senjata fitnah demi mencapai matlamat. Golongan ini tidak  rasa gerun dan insaf tentang azab yang bakal diterima di alam akhirat. Golongan manusia yang mengamalkan budaya keji ini pasti akan di humban ke dalam neraka Allah jika mereka tidak kembali bertaubat dan memohon keampunan Allah serta memohon maaf daripada insan yang difitnah. Amat malang dewasa ini fitnah dianggap senjata berkesan oleh golongan keji  untuk mendapat keyakinan rakyat. Bahkan golongan pemimpin yang angkuh ini akan sibuk dengan pembangunan fizikal dengan mendirikan bangunan-bangunan atau projek mewah yang manfaatnya tidak sampai kepada rakyat terbanyak. Pemimpin seumpama ini tidak bersunguh-sungguh membentuk umat yang berakhlak mulia dan patuh kepada Allah. Mereka melakukan pelbagai kerosakan dan kemungkaran. Tokoh-tokoh agama pula tidak bersungguh-sungguh untuk menjelaskan bahaya dan akibat berleluasanya budaya fitnah. Ulama seolah-olah terkunci mulut atau tidak ada keberanian untuk menjelaskan kepada umat tentang kesan fitnah yang disebarkan. Ulama seperti ini amat jauh bandingannya dengan Ulama seperti Imam Malik yang berani menegur kesalahan pemerintah. Inilah sikap ulama yang berprinsip dan takut kepada Allah. Golongan ulama bisu ini hanya mementingkan pangkat dan kedudukan daripada menyatakan kebenaran.
Amat menyedihkan sebahagian umat Islam  dalam keghairahan berpolitik menggunakan amalan terkutuk ini untuk membunuh karier musuh politik atau memburukkan organisasi politik pihak lawan dengan membelakangkan ajaran agama.Kuasa politik pada tanggapan mereka adalah urusan dunia, tiada kaitan dengan agama. Maka tidak hairanlah sesetengah orang melihat politik adalah “tindakan pelbagai kemungkinan manusia” untuk berkuasa dengan konsep ‘Matlamat menghalalkan cara’. Anggapan tersebut mungkin berdasarkan realiti politik yang diterjemahkan oleh politikus yang bangkrap akhlak dan muflis idealisma perjuangan. Golongan  gila kuasa ini gagal untuk memahami bahawa politik adalah satu wasilah  untuk mengurus kehidupan manusia (rakyat). Fahaman songsang yang mengatakan politik tiada kaitan dengan agama, kerana ada dinding besar yang terbina dalam diri mereka sehingga tidak nampak bahawa Islam itu adalah sistem hidup yang mendasari segala urusan manusia. Golongan ini dengan mudah diperdaya oleh syaitan dan iblis yang senantiasa untuk menyesatkan anak Adam untuk menjadi pengikut-pengikut setianya. Ketidakfahaman tentang tassawur Islam, menyebabkan mereka gagal untuk memahami bahawa politik dalam Islam adalah untuk mentadbir alam berdasarkan tuntutan syariat. Ada juga kedengaran ungkapan bebal dengan membuat definisi sembrono “Sesiapa pun yang memegang kuasa pasti bermatlamat mencari kemehawan”. Anggapan demikian kerana jiwa mereka hanya berkiblat kepada nilai kebendaan dan persekitaran politik kotor yang melingkari individu dan organisasi. Kebangsatan politik  itu mungkin sudah sebati hingga ke akar umbi organisasi. Inilah implikasi daripada teladan kepimpinan yang mewarnai pengikut dengan matlamat keduniaan. Golongan ini mudah membuat sangkaan buruk serta menghalang kelompok yang  berusaha untuk meletakkan politik sebagai wasilah memakmurkan bumi berasaskan petunjuk Al-Quran dan Sunah. Rasullullah merupakan model kepimpinan politik dan negarawan ulung mentadbir negara atas landasan wahyu. Piagam Madinah merupakan model negara Islam yang berteraskan prinsip keadilan. Dalam konteks ini Ibnul Qayyim  membicarakan bahawa  “politik yang adil tidak bertentangan dengan bunyi ketentuan syariat, justeru poltik demikan sesuai dengan ajaran yang terkandung didalamnya. Imam al-Ghazali berkata dalam kitab Ihya Ulumuddin, mengungkapkan;
“Dunia adalah ladang akhirat, dan agama tidak akan sempurna kecuali di sokong oleh dunia. Kekuasaan dan agama bagaikan dua saudara kembar, agama sebagai dasar, manakala penguasa sebagai penjaga. Segala sesuatu yang tidak memiliki dasar akan rosak. Manakala jika tidak ada penjaga, maka sesuatu itu akan hilang. Kekuasaan dan hukum tidak akan sempurna tanpa adanya kekuasaan”.
Amat jelas bahawa kekuasaan yang ditegakkan mestilah bersandar kepada agama. Kekuasaan yang tidak mepunyai asas akan rosak. Imam Al Ghazali menggambarkan bahawa agama menjadi asas penting menentukan corak kuasa dan kepimpinan. Kuasa tanpa nilai agama akan menjurus kepada ketempangan kepimpinan dan menjurus kepada kegagalan membina kualiti umah dan negara. Penguasa atau pemerintah sepatutnya menjaga kemuliaan agama dengan meletakkan agama sebagai pemerintah bukan yang diperintah. Negara dan umat akan rosak apabila pemimpin tidak mendaulatkan agama. Harapan untuk mendapat keberkatan dan limpahan rahmat daripada Allah tidak akan termakbul. Ibn Khadun mendefinisikan Khilafah sebagai;
“Membawa orang ramai mengikut pandangan syarak dalam urusan maslahah akhirat dan dunia yang semuanya di rujukkan kepada syarak kerana semua urusan dunia di sisi syarak dianggap sebagai kemaslahatan akhirat. Pada hakikatnya Khalifah ialah pengganti daripada pemilik syarak dalam urusan menjaga agama dan menguruskan (mentadbir) dunia berdasarkannya”.

Masalah besar yang melanda umat pada zaman mutakhir ini, tidak ada keyakinan terhadap Al- Quran dan Sunah sebagai dalam mengurus negara atau pun ada usaha yang bersungguh-sungguh meletakkan sistem perundangan Islam atau setidak-tidaknya secara beransur-ansur yang menunjukkan peningkatan demi peningkatan bukannya semakin lesu (dalam konteks beransur-ansur), yang makruf dilakukan yang mungkar pula terus subur berkembang. Apabila pemimpin yang di beri amanah, tidak melaksanakan amanah atas prinsip pengabdian diri kepada Allah dan mencari keredaanNya, maka yang makruf dan mungkar bergerak selari. Kuasa di lihat sebagai alat  mencapai kemegahan dan kemewahan bukan sebagai amanah. Pertembungan antara dua konsep ini meletakkan manusia di dua persimpangan sama ada memilih jalan Syaitan atau Jalan ketuhanan. Sesungguhnya amanah itu merupakan rahsia ketakwaan kepada Allah. Allah SWT berfirman;
“Maka jika sebagaian kamu percaya kepada sebahagian, maka orang yang diberi kepercayaan hendaklah menyempurnakan amanahnnya. Dan hendaklah dia takut kepada tuhannya”.
[Al Baqarah: 283]  
Pemimpin yang mengkhianati amanah dan berdusta, sangat dimurkai Allah. Sifat-sifat tersebut merupakan sifat-sifat yang tercela. Apabila sifat-sifat keji ini wujud dalam diri individu dan mudah mengkhianati amanah yang diberi apabila bertembung dengan ujian kebendaan. Pemimpin keji ini akan mengkhianati amanah yang diberi dan sanggup  meninggalkan organisasi sekiranya tuntutan nafsu serakah tidak tercapai. Sikap pemimpin seperti ini bukanlah seorang pejuang yang  berprinsip dan memahami aspirasi perjuangan. Prinsip perjuangan mereka mudah cair apabila berhadapan dengan hambatan duniawi (mengejar kemewahan} dan menggunakan kedudukan untuk mencapai kesenangan hidup dengan jalan batil. Perjuangan yang dilaungkan hanya palsu dan dusta. Allah memberi amaran terhadap sifat buruk yang diamalkan ini. Allah  SWT berfirman;
“Sungguhnya Allah tidaklah akan menunjukkan orang yang melampaui dan sangat berdusta”.
            Dalam konteks percaturan politik di Malasyia, para pemimpin umat Islam daripada organisasi politik yang berbeza jangan sekali-kali menipu rakyat jelata dengan janji-janji manis terutama semasa kehangatan berkempen dalam sesuatu pilihanraya. pemimpin politik yang mengaku berjuang untuk agama bangsa dan negara harus berhati-hati dalam tindakan dan ucapan agar tidak terjerumus dalam sifat-sifat kemunafikan. Semua janji yang muluk-muluk mesti ditunaikan, jangan lenyap apabila berakhir pilihanraya, tinggallah rakyat terkapai-kapai seperti mengharap buah yang tidak gugur. Para pemimpin, khususnya pemimpin muslim perlu memahami dengan mendalam konsep amanah. Manusia perlulah  melihat keupayaan diri untuk memikul amanah besar kerana ia memberi kesan kepada rakyat dan negara. Pemimpin yang beriman dan bertakwa tidak akan meminta amanah kecuali atas kehendak organisasi atau masyarakat yang menaruh kepercayaan terhadapnya. Allah menempelak manusia tentang konsep amanah. Allah SWT berfirman;

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan (membentang untuk diserah) Amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang; Maka semuanya takut Untuk memikul amanah itu dan mereka takut (bimbang) tidak terlaksananya; Dan yang menyanggupinya ialah manusia; Sesungguhnya manusia itu amat aniaya dan amat tidak mengerti.”
[ Al-Ahzab: 721]
            Islam telah menegaskan bahawa jawatan bukan sebagai kemegahan dan amat jengkel jika ada insan yang gila kuasa dengan menggunakan strategi kotor untuk dipilih sebagai pemimpin. Peringatan ini dijelaskan dalam beberapa hadis;
Terjemahannya:
 “Jangan minta untuk jawatan kepimpinan”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Terjemahannya:
“Sesungguhnya kami demi Allah, tidak akan melantik dalam pekerjaan ini iaitu kepimpinan kepada orang yang memintanya dan tamakkannya”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
            Berdasarkan hadis–hadis tersebut amat malang jika pemimpin umat Islam dipilih menerajui organisasi hasil daripada sogokan (rasuah) kepada ahli-ahli. Amalan ini amat bercanggah dengan maksud hadis-hadis yang dinyatakan. Apabila pengikut memilih pemimpin seperti itu, sudah tentulah untuk meletakkan pemimpin yang boleh mengangkat martabat bangsa dan agama akan menemui kebuntuan. Ahli-ahli yang memilih pemimpin keji itu akan turut dipersoalkan di hadapan Allah kerana bersekongkol untuk mengangkat pemimpin yang tidak bermaruah.
Apabila individu dalam sesebuah organisasi poltitik meletakkan matlamat kebendaan dalam cita-cita politiknya maka yang tersirat hanyalah kepalsuan perjuangan yang diuar-uarkan secara retorik dan hambar. Budaya rasuah, dendam kesumat, cantas mencantas, fitnah, ugutan akan melingkari segenap saraf parti. Sesetengah ahli  parti atau orang politik akibat kejahilan dengan lunaknya melafazkan kata-kata “Biasalah zaman sekarang, kalau nak bertanding mesti guna duit, kalau tak ada duit jangan bermimpi nak menang”. Ungkapan ini sememangnya sinonim kepada pengikut dan pemimpin yang menggunakan politik wang (rasuah) untuk mencapai matlamat. Golongan ini sanggup menggunakan jalan batil tanpa memikirkan dosa dan pahala. Pada sebahagian mereka, asalkan kocek berisi sudah memadai, kualiti dan akhlak pemimpin yang dipilih tidak penting. Jika keaadan ini wujud tidak mustahil pemimpin yang terpalit dengan skandal seperti rasuah dimartabatkan semula di singgahsana politik. Tidakkah kita sebagai rakyat berasa malu terhadap negara-negara bukan Islam seperti Korea, Jepun, Singapura, Denmark yang begitu tegas dalam pelaksanaan terhadap pesalah rasuah. Perhatikan indeks kedudukan jenayah rasuah antara Negara Malasyia berbanding negara tersebut, cukup mengaibkan. Rakyat mereka akan bangkit membongkar dan menentang pelaku rasuah dan merentap perasuah yang korup daripada jawatan atau singgahsana. Rakyatnya mempunyai semangat patriotisma yang cukup tinggi terhadap negara bangsa. Bagi mereka pemimpin boleh datang dan pergi, negara jangan sekali-kali hancur oleh kejebatan dan kemungkaran pemimpin. Mengapa gejala rasuah di negara kita menjadi isu yang begitu serius diperbahaskan? Umat Islam sepatutnya kembali kepada petunjuk agama jika benar-benar ingin membanteras rasuah. Umat Islam yang beriman dan bertakwa pasti tidak akan melalukan amalan rasuah kerana yakin ada kuasa maha agung yang melihat amalan mungkar itu. Rasullullah mengingatkan melalui Sabda Baginda: “Sesungguhnya pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan dihumban ke dalam neraka” Masyarakat di negara ini dikejutkan dengan pelbagai insiden yang ada kaitan dengan amalan rasuah. Kejadian runtuhan beberapa bangunan yang baru saja dibina menterjemahkan gara-gara penyelewengan. Adakah rakyat dan pemimpin Islam sudah hilang jati diri dan nilai intergriti. Amat jauh jurang bandingan pemimpin-pemimpin Islam tersohor dengan pemimpin masa kini yang mengaku dirinya pemimpin umat Islam.
Khalifah Umar Abd Aziz, Abu Bakar Al Siddig, Umar Al Khatab dan para sahabat Rasullulah lainnya merupakan pemimpin yang beriman dan bertakwa hidup dengan sikap zuhud yang cukup tinggi martabatnya. Lihat sahajalah lagak dan gaya sebahagian pemimpin Islam hari ini. Hidup mereka penuh kemewahan. Rumah-rumah mereka seperti istana, rumah-rumah rakyat bawahan pula ada seperti kandang kambing dan reban ayam. Pemimpin yang bertopengkan perjuangan tetapi jiwa bergelumang nafsu serakah, sebenarnya tidak layak untuk memimpin umat. Mereka mendatangi rakyat dengan menggambarkan watak sebagai  pembela nasib rakyat tetapi  sebenarnya bapak-bapak lanun moden yang merompak hak rakyat dengan jalan kebatilan dan penuh licik. Seratus ringgit yang ditaburkan untuk rakyat, ratusan ribu ringgit di kaut untuk diri, kroni serta para pengampu. Allah telah memperingatkan tentang banyak kisah dalam Al Quran tentang manusia yang lupa daratan (tidak tunduk kepada Allah). Allah menceritakan kisah Qarun yang memiliki keyaan yang cukup hebat. Dengan kekayaan yang dimiliki Qarun menjadi angkuh dan sombong. Qarun telah lupa kepada Allah dan sifatnya sebagai hamba. Tentang sifat Qarun itu, Allah s.w.t. menegaskan dalam Al Quran firmanNya;
“sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka, dan kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidfak suka kepada orang yang bermegah-megah”.
(Al Qasas:76)

Sifat bermegah-megah dan angkuh dengan kemewahan sehingga lupa hubungan dengan Allah dan manusia, seperti Qarun sehingga sanggup menafikan segala nikmat dan rezeki adalah daripada kurniaan Allah.  Allah s.w.t. berfirman;
“Qarun berkata; sesungguhnya aku memperoleh harta kekayaan itu kerana kepandaianku” Apakah dia tidak ingat bahawa segala sesuatu itu, termasuk harta kekayaannya adalah milik Allah s.w.t. dan kepadaNya kembali segala sesuatu?
Kesombongan dan sifat  takbur  dalam jiwa  membawa kemusnahan kepada Qarun. Qarun akhirnya ditelan bumi dengan doa yang dipinta oleh Nabi Musa a.s. Oleh itu ingatlah bahawa kekayaan bukan untuk bermegah sebaliknya kurniaan Allah dan amanah untuk manusia. Pemimpin yang melihat jawatan sebagai alat mengumpul kekayaan dan kemewahan pasti tidak mempedulikan larangan dan peringatan Allah. Pemimpin seumpama ini akan mencari apa jua kesempatan untuk mencapai kemewahan dan kemegahan walaupun terpaksa bersandiwara terhadap penyokong atau pengikutnya.
Pemimpin seperti ini lebih rela kalau pengikutnya tidak berpegang teguh kepada nilai-nilai agama kerana mudah baginya membeli harga diri pengikut-pengikut atau penyokongnya. Amalan buruk yang bersarang dalam kalbu kotor ini akhirnya mengheret organisasi menuju kehancuran. Allah mengingatkan orang-orang yang beriman supaya tidak mengikut langkah-langkah syaitan yang senantiasa ingin mengheret manusia untuk melakukan kemungkaran dan perbuatan-perbuatan keji. Allah SWT berfirman;
“Hai orang-orang yang beriman, janaganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan mungkar”
                                                                                                  (Surah an-Nur:21)
Sesebuah oragnisasi yang diselaputi pelbagai kemungkaran daripada peringat bawahan sehingga ke peringkat atasan akan sukar melahirkan generasi kepimpinan yang beriman dan bertakwa yang bakal mewarisi kepimpinan negara dan umat dengan telus, adil dan amanah. Pepatah Jepun mengunggkapkan “Apabila kepala ikan itu busuk, maka badannya juga akan menjadi busuk”. Pemimpin mestilah menjadi model kepada rakyat atau pengikut. Pemimpin yang gagal berbuat demikian umpama “mengharap jernihnya air di hlilir, sedangkan di hulunya penuh kelodak “Kepimpinan yang tidak bermoral ini akan membiakkan penyokong atau pengikut dengan sifat buruk yang dicorakkannya. Tunas-tunas kepimpinan yang berkarisma dalam organisasi tidak mudah diangkat menjadi pemimpin andai tidak tunduk dan patuh kepadanya walaupun jelas pelbagai kemungkaran yang dilakukan. Mereka yang menegur atau mengkritik sang pemimpin akan gelaplah masa depan karier politiknya. Pengikut harus bermatian-matian mempertahankan kepimpinan seumpama ini demi menjaga “periuk nasinya”. Sudah tentulah yang berpegang kepada idealisma dan prinsip perjuangan akan berada  dalam dilema dan tidak mustahil terheret sama mengikuti langkah-langkah parasit dan anai-anai politik untuk melonjak diri. Sesebuah organisasi yang nampak gah pada zahirnya, hakikatnya akan menuju kehancuran akibat budaya mungkar yang membarah dalam organisasi tersebut. Lama-kelamaan organisasi politik itu akan hilang keyakinan rakyat dan akhirnya membawa kepada kehancuran. Maka matlamat perjuangan mengangkat martabat agama, bangsa dan negara sekadar retorik dan cerminan kepura-puraan yang terhambur melalui salakan-salakan dan ngauman yang tidak membawa apa-apa kesan. Al-Quran telah merakamkan sejarah tamadun umat terdahulu yang telah dibinasakan oleh Allah lantaran kuasa yang mereka miliki menjadikan mereka zalim, tamak dan lebih parah pemerintah atau kerajaan tersebut tidak memperdulikan amaran dan peringatan Allah serta tidak selari dengan prinsip Al Quran. Angkara kedegilan manusia untuk tunduk dan patuh kepada Allah maka sewajarnya Allah menimpakan bencana kepada mereka;
“Bukankah telah datang kepada merera berita-berita orang-orang yang terdahalu daripada mereka,  iaitu kaum Nabi Nuh, dan ‘Ad, dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim, dan penduduk Madyan serta-negeri-negeri yang telah dibinasakan? Semuanya telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan yang jelas nyata, (lalu mereka mendutakannya dan tuhan membinasakan mereka) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri”.
                                                                                                                        (Surah at-Taubah:70)
Seruan para Rasul terhadap kaum-kaumnya agar mereka menyembah Allah dan patuh terhadap segala perintah dan laranganNya. Namun manusia tidak merasakan dirinya sebagai hamba Allah, bahkan bongkak dan angkuh sehingga seruan Para Rasul untuk mengabdikan diri kepada Allah tidak dihiraukan. Sesungguhnya kaum-kaum tersebut telah melakukan kezaliman terhadap diri mereka sendiri. Lihatlah apa yang telah berlaku kepada Syuaib dan kaumnya (madyan). Nabi Syuaib menyeru kaumnya agar beriman kepada Allah iaitu kepada kehidupan berlandaskan Ad-Din yang sebenar. Namun sikap kaum Madyan yang meremehkan seruan Nabi Syuaib bahkan ketidakadilan dalam urusan kehidupan mereka serta amalan mungkar yang berterusan. Kaum Madyan telah dibinasakan oleh Allah dan lupus daripada muka bumi.

No comments:

Post a Comment