Hakikat
Kepimpinan
Manusia
biasa tidak maksum sifatnya, sudah tentu
tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Agama Islam menyeru penganutnya
supaya saling menasihati agar umat tidak tersesat, sebaliknya berada dalam
lingkungan petunjuk Ilahi. Umat Islam telah dijadikan Allah sebagai umat yang
terbaik untuk membimbing manusia agar patuh dan tunduk kepada maha pencipta. Pra
syarat untuk layak diiktiraf sebagai umat terbaik, mestilah berpaksi kepada
tiga asas seperti yang dikehendaki Allah ia itu melakukan perkara makruf,
mencegah kemungkaran serta dilengkapi dengan beriman kepada Alah. Sebagai
khalifah Allah di muka bumi, tidak cukup sekadar melakukan yang makruf
sedangkan perkara mungkar dibiarkan tanpa keazaman dan usaha untuk
mencegahnya.Allah SWT memperingatkan dalam firmanNYa;
“Sesungguhnya kamu adalah umat terbaik (umat
Muhammad) yang di keluarkan
daripada kalangan manusia, menyeru kepada yang
makruf dan mencegah yang mungkar serta beriman kepada Allah”
Surah
ali- Imran 3: 110
Dalam konteks kepimpinan, tindakan pemimpin mungkin
betul dan mungkin sebaliknya. Pengikut atau rakyat berperanan menegur pemimpin
agar perjalanan urus tadbir organisasi atau negara tidak berlaku ketempangan dan
penyelewengan yang membawa kemudaratan kepada rakyat dan negara. Sekiranya
rakyat membisu atau mengiyakan sahaja kemungkaran atau kesalahan yang dilakukan
oleh pemimpin beerti rakyat menempah penderitaan dan musibah. Rakyat yang
cintakan negara jangan sekali-kali membiarkan pemimpin melakukan kemaksiatan dan
kemungkaran dan berkewajipan menegur kesalahan yang dilakukan. Islam telah
menegaskan bahawa mesti ada golongan yang menyeru kepada yang makruf dan mencegah
kemungkaran. Rasullulah mengingatkan tentang kewajipan umat Islam menegur jika
melihat kemungkaran yang dilakukan oleh seseorang tanpa mengira darjat atau
kedudukan. Usaha mencegah kemungkaran bersandar kepada tahap keupayaan. Rasullullah
bersabada:
“Barangsiapa di antara kamu melihat perbuatan
mungkar di kerjakan orang maka hendaklah ia ubah dengan tangannya sendiri. Jika
ia tidak mampu, ubahlah dengan lisan (ucapan ). Jika ia tidak sanggup juga
ubahlah dengan hatinya. Tetapi tindakan yang terakhir ini suatu tanda iman yang
lemah”
Sebagai hamba Allah yang layak untuk digelar
seorang Mukmin, maka mestilah berusaha bersungguh-sungguh untuk membetulkan
kesalahan atau kesilapan saudara seagamanya yang terpesong daripada panduan
syariat. Amat malang jika umat yang mengaku beriman kepada Allah melihat sahaja
kemungkaran berlaku di depan mata terutama yang melibatkan kepimpinan umat
sekurang-kurangnya benci terhadap kemungkaran yang dilakukan. Apakah nilai seorang hamba di sisi Allah yang
mengaku dirinya Islam tetapi mempertahankan kemungkaran pemimpin demi
kepentingan keduniaan semata-mata. Kebencian dalam hati itu pun sudah
meletakkan tahap keimanan seseorang mukmin ditahap yang paling rendah kerana selepas
itu tidak Iman lagi. Hal ini telah disebut dalam hadis Nabi s.a.w. telah
diriwayatkan oleh Muslim daripada Ibn Mas’ud secara marfu’;
Terjemahan:
Tidak ada seorang Nabi pun yang diutuskan oleh
Allah di kalangan umat sebelumku melainkan wujud daripada umatnya golongan
Hawariyun (pembantu) dan para sahabat yang mengambil sunahnya dan mematuhi
perintahnya. Kemudian dia meninggalkan selepas mereka para pengganti yang
berkata apa yang tidak mereka lakukan dan melakukan apa yang yang tidak
diperintahkan. Sesiapa berjihad menentang mereka dengan tangan maka dia adalah
seorang Mukmin. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan lidah maka dia
adalah seorang Mukmin. Sesiapa yang menentang mereka dengan hati maka dia
adalah seorang Mukmin dan tidak ada di sebalik itu iman walaupun sebesar biji
sawi.
Abu Bakar Ash-Shiddiq selepas diangkat menjadi
khalifah, beliau bangun dan berkata di hadapan khalayak ramai dengan ungkapan
yang menggambarkan ketinggian peribadi dan sikap keterbukaan seorang pemimpin
yang memukul beban amanah yang begitu besar. Beliau berkata:
“Saudara-saudara, sekarang aku telah terpilih
sebagai amir meskipun aku tidak lebih baik daripada sesiapa pun di antara kamu. Bantulah aku apabila aku berada di
jalan yang benar, dan perbaikilah aku apabila aku berada di jalan yang salah. Kebenaran
adalah satu kepercayaan, kesalahan adalah satu pengkhianatan. Orang yang lemah
di antara kamu akan menjadi kuat bersamaku (Insya Allah) hingga kebenaran
terbukti dan orang yang kuat di antara kamu akan lemah bersamaku dan aku beri
apa yang menjadi haknya. Patuhlah kepadaku sebagaimana aku mematuhi Allah dan
RasulNya. Jika aku tidak mematuhi Allah dan
RasulNya janganlah sekali-kali kamu patuh kepadaku”
Ungkapan hebat itu menggambarkan peranan pemimpin untuk memerintah
dengan adil dan sentiasa berlapang dada untuk menerima teguran agar kepimpinan
berada di landasan yang betul dengan memenuhi kehendak Allah dan RasulNya. Amat
malang sekiranya terdapat pemimpin yang menyeleweng atau mengeluarkan sesuatu
kenyataan yang salah rakyat bawahan membisu atau pun orang-orang di sekeliling
pemimpin itu mengambil pendekatan berdiam diri kerana wujud sifat pengampu dan
menjaga kepentingan diri agar tidak terjejas. Sikap seperti ini membawa kerosakan kepada kualiti kepimpinan dan
rakyat pula menjadi tukang angguk yang merosakkan pemimpin dan membawa kehinaan
kepada umat. Mu’awiyah meriwayatkan bahawa Rasullulah s.a.w.bersabda;
Terjemahan:
‘Akan berlaku selepas aku
pemimpin-pemimpin yang mengeluarkan kenyataan dan tiada siapa seorangpun yang
berani membantahnya, mereka akan di halau di dalam neraka seperti di halaunya
kera’.
Daripada Jabir bahawa Rasullulah s.a.w. telah
bersabda kepada Ka,ab bin ‘Urjah yang bermaksud:
“Semoga kamu dilindungi oleh Allah daripada
pemerintahan orang-orang yang bodoh wahai Ka’ab”. Ka’ab bertanya: “ Apakah
pemerintah orang yang bodoh itu? ”Rasulullah menjawab: Para pemimpin selepasku
yang tidak mengambil petunjukku sebagai petunjuk dan tidak mengamalkan Sunahku.
Sesiapa yang membenarkan pendustaan mereka, menolong kezaliman mereka, mereka bukanlah
daripada aku dan aku juga bukanlah daripada mereka, mereka tidak dapat meminum daripada
kolamku (pada hari kiamat). Sesiapa yang tidak membenarkan pendustaan mereka dan
tidak menolong kezaliman mereka, mereka itulah daripadaku dan aku adalah
daripada mereka dan mereka akan dapat minum di kolamku.”
Pemerintah atau pemimpin (Islam) umat mestilah
meletakkan asas kepimpinan yang telah ditunjukkan oleh junjungan besar Nabi
Muhammad s.a.w. Ketinggian akhlak Rasulullah dalam memimpin umat merupakan
model kepimpinan yang terunggul. Pemimpin mestilah membawa rakyat yang dipimpin
dengan nilai peradaban luhur yang menjurus kepada pengabdian diri kepada Allah.
Kepimpinan yang buruk ialah para pemimpin yang mengheret pengikut atau rakyat
bersama dengannya mendokong nilai kemuflisan akhlak dengan melakukan kezaliman
dan pembohongan. Pemimpin sewajarnya berlapang dada dan bermuhasabah terhadap
teguran dan kritikan yang bertujuan membetulkan teraju pemerintahan yang
berteraskan keadilan dan bersikap demokratik dan seterusnya yang lebih penting
tidak mengundang kemurkaan Allah. Pemimpin yang tidak boleh ditegur atau
dinasihati merupakan pemimpin yang angkuh dan membekangkan peringatan agama. Marilah
kita merenung sejenak kata-kata Khalifah Umar al-Faruq:
“Semoga Allah merahmati seseorang yang menunjukkan
kepadaku keaiban diriku”
Umar seterusnya berbicara,
” Wahai manusia, sekiranya kamu melihat aku
menyeleweng daripada jalan kebenaran maka perbetulkanlah aku.” Lalu seorang
lelaki bangun sambil berkata: ”Wahai Ibn Khattab, demi Allah, kalau kami
melihat kamu melakukan penyelewengan maka kami akan memperbetulkannya dengan
mata pedang kami.”
Pada suatu situasi seorang perempuan telah membidas
kata-kata Umar ketika itu sedang berada di atas mimbar. Umar tidak melihat
bahawa teguran perempuan itu sebagai memalukannya, bahkan beliau berkata:
“Perempuan itu benar, dan Umar telah bersalah”. Nah betapa tingginya kualiti
kepimpinan umat yang ditunjukkan oleh Umar dalam menjamin pemerintahannya
berada di landasan yang betul.
Setiap rakyat sememangnya wajib mentaati perintah atau Ulil Amri. Namun ketaatan
terhadap Ulil Amri bukanlah ketaatan yang mutlak seperti ketaatan kepada Allah
dan Rasul. Pemimpin yang zalim dan melakukan kemaksiatan kepada Alah dan Rasulnya
tidak wajib ditaati. Islam telah menggariskan kaedah-kaedah yang terbaik dalam
membetulkan kesalahan pemimpin. Dalam hal ini Imam Ath Thabary dalam tafsirnya
Jaami’ul Bayan menjelaskan bahawa Ulil Amri itu adalah para raja dan kepala negara
yang perintahnya untuk taat kepada Allah dan untuk kemaslahatan kaum muslimin. Inilah
Ulil Amri yang wajib ditaati. Pandangan Ath Thabary itu hampir senada dengan
pandangan Imam Al Umady dalam tafsirnya Isyaadul Aqqlis Salien menjelaskan
bahawa Ulil Amri itu adalah para raja yang benar dan kepala negara yang adil, seperti
para Khulafaur Rasyidin dan para orang yang mengikuti jejak mereka. Mereka
selalu mengikuti petunjuk yang benar dan pimpinan yang lurus. Para raja atau
kepala negara yang zalim tidak wajib ditaati. Walau bagaimana pun rakyat tidak
boleh melakukan tindakan yang bertentangan dengan prinsip undang-undang dan
keluhuran perlembagaan.
Muhammad Ali Shabuni dalam tafsirnya menjelaskan
bahawa:
”Pengertian taati Allah dan taati Rasulnya dengan
bepegang teguh dengan kitab Allah
(Al Quran) dan Sunah (hadis) dan taatilah pemerintah,
apabila pemerintah itu muslim yang berpedoman dengan syariat Allah”.
Amat penting bagi umat Islam berhati-hati serta menyelidiki keperibadian
seseorang sebelum layak untuk diangkat menjadi pemimpin umat dan negara.
Apabila umat tersalah memilih pemimpin terutama pempimpin yang tidak menjaga
hubungan dengan Allah maka akan mengundang pelbagai musibah atau kemungkaran. Apabila
pemimpin dan rakyat saling melengkapi, rakyat kasihkan pemimpin dan pemimpin
juga kasihkan rakyatnya serta sama-sama bertanggungjawab menjaga kemuliaan
agama, bangsa dan negara maka insya Allah akan lahirlah sebuah negara yang
harmoni dan stabil. Dalam satu hadith Rasullah s.a.w. bersabda;
Terjemahannya:
“Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu
menyayanginya dan dia menyayangimu, kamu berdoa untuknya dan dia berdoa
untukmu. Sejahat-jahat pemimpin pula adalah siapa yang kamu membencinya dan dia
membencimu, kamu melaknatinya dan dia melaknatimu”.
Umat Islam terutamanya tidak akan terlepas untuk dihisab di hadapan
mahkamah Allah kerana mengangkat pemimpin yang tidak berakhlak yang membawa
kemudaratan kepada umat. Umat Islam disuruh melakukan amal makruh nahi mungkar.
Segala kemungkaran wajib dihalang terutama yang melalukan kesalahan dan
kemungkaran ialah pemimpin umat. Amat malang
jika pengikut atau rakyat tidak ada keberanian walau sedikit pun untuk menegur
kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin. Apakah rakyat suka negara ditadbir
oleh orang-orang yang melakukan kerosakan? Dalam konteks ini Rasullulah
mengingatkan dalam sabda baginda;
“Pilihlah; Apakah kamu akan melakukan amal makruf
dan nahi mungkar, atau Allah akan menjadikan orang-orang jahat berkuasa di
kalangan Kamu, kemudian setelah itu pemimpin-pemimpin berdoa kepada tuhan, tetapi
Tuhan tidak akan mengabulkannya lagi!”

memang berat amanah kepimpinan ni psl tu aku tak jd pemimpin beso..dah berapa kali org nak lantik aku jadi president Amerika
ReplyDelete