Monday, June 18, 2012







Pemimpin Beriman Dan Bertakwa

Keimanan dan ketakwaan kepada Allah menjadi elemen yang penting dalam meletakkan ciri kepimpinan yang unggul yang dapat memayungi rakyat dengan prinsip amanah dan adil. Pemimpin yang tidak beriman dan bertakwa akan mudah terbias daripada nilai-nilai tersebut. Keimanan kepada Allah merupakan lambang ketinggian peribadi dan menjadi sumber kekuatan kepada kepada kepimpinan dan ummah. Dengan kekuatan Iman dan takwa, Umat Islam berjaya menewaskan empayar-empayar besar di dunia seperti Rom Parsi, menentang bala tentera Tartar dan memerangai tentera-tentera salib yang berhasrat menghancurkan Islam. Salah satu peristiwa penting yang wajar disingkap dan diambil pengajaran ialah peristiwa Perang Badar yang berlaku pada tahun kedua hijrah. Peperangan Badar yang meletus pada 17 Ramadan bersamaan turunnya Al Quran membawa pengertian besar terhadap umat Islam keseluruhannya. Kekakalahan tentera Mushrikin Mekah jumlah yang begitu besar berbanding tentera Islam, ditambah pula dengan kekurangan kelengkapan perang dan persediaan tetapi berjaya menewaskan musuh yang lebih besar. Pemimpin dan umatnya yang benar-benar meletakkan pengabdian diri kepada Allah dan berjuang semata-mata menegakkan agama Allah, maka kehebatan manusia yang mungkar akan tersungkur dengan pertolongan Allah. Sejarah Umat Islam membebas dan memerdekan tanah air daripada penjajahan barat ditandai dengan gerakan-gerakan berteraskan kekuatan agama. Kekuatan agamalah yang menjadikan musuh-musuh Islam gerun terhadap umat Islam.Namun kini umat Islam dihina dan diratah oleh musuh-musuh Islam kerana “Roh Agama” semakin pudar dari jiwa umat. Umat Islam hari ini lebih cintakan dunia dan takut mati. Walaupun kuantiti umat Islam seluruh dunia cukup besar, namun kualiti umat Islam disifatkan oleh Rasulullah sebagai buih yang mudah lenyap dan tidak dapat bertahan lama. Oleh itu amat penting umat Islam kemabali kepada petunjuk agama dan pemimpin umat Islam meletakkan kepimpinan sebagai amanah demi mencari reda Allah dan perjuangan mestilah berada dalam ruanglingkup batas-batas syariat dengan berpegang sungguh kepada Al Quran dan sunah. Allah SWT berfirman;
“Maka patutkah aku mencari hakim (penentu keputusan) selain daripada Allah, pada hal Dialah yang telah menurunkan kitab (al-Quran) kepadamu dengan terperinci?”
                                                                                                                                    (Surah al-An’am: 114)
Allah SWT berfirman;
“Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?”
                   (Surah al-Maidah: 50)

            Pemimpin yang beriman dibentengi dengan menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Apabila kedua-dua elemen ini berpadu ia akan memberi kekuatan kepimpinan kerana mengamalkan nilai-nilai yang menepati petunjuk Al-Quran dan Al-Sunah. Apabila pemimpin mengabaikan kepatuhan kepada Allah terutama dalam perintah mendirikan solat, ternyata mereka meruntuhkan tiang agama dan benteng yang menghalang daripada melakukan perkara keji dan mungkar. Pemimpin seumpama ini mudah mengikut dorongan hawa nafsu dan jejak langkah syaitan yang bersedia pada bila-bila masa untuk menjadi teman rapat mereka. Syaitan sentiasa mengajak manusia ke arah kesesatan daripada beriman kepada Allah. Pemimpin yang rosak akhlak dan lemah imannya sukar mengajak rakyat melakukan perkara ma’ruf sebaliknya mereka bersekongkol dan bahkan ada yang menjadi penaja pelbagai budaya mungkar tanpa mempeduli petunjuk agama. Mereka melakukan kemungkaran tanpa rasa takut kepada Allah dan pembalasan azab yang akan menimpa akibat penderhakaan kepada Allah. Pemimpin Islam yang dapat membimbing umat  ialah mereka berpegang teguh kepada ajaran agama dan sentiasa mengajak manusia beriman kepada Allah. Pemimpin yang berakhlak mulia  akan memastikan segala aktiviti-aktiviti kehidupan umat Islam tidak menjurus kepada kelalaian yang merugian sama ada di dunia dan di akhirat. Segala perancangan dan dasar pentadbiran atau pemerintahan adalah bertujuan melahirkan umat yang kuat dari segi rohani (agama) mental, budaya ilmu dan kemahiran yang membawa kebahagiaan akhirat dan dunia. Apabila pemimpin umat Islam tidak ambil peduli masalah umat Islam terutama dalam soal aqidah dan akhlak umat, mereka sesungguhnya kepimpinan tersebut tidak menepati seperti mana yang dikehendaki oleh tuntutan agama;
            Allah SWT berfirman;
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di- bumi nescaya mereka mendirikan solat dan memberikan zakat, dan menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara mungkar”
(Surah al-Hajj: 41)

No comments:

Post a Comment