Tuesday, June 12, 2012






Segala pujian yang tidak terhingga, baik lagi berkat buat Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas Saiyidil Mursalin yang diutuskan sebagai  rahmat buat semesta alam, serta kaum keluarga , para sahabat baginda keseluruhannya dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat.
Islam memberikan perhatian terhadap persoalan pemimpin dan kepimpinan. Maka diutuskan para nabi dan rasul bagi memimpin ummah bersama risalah dan petunjuk Illahi berkait dengan urusan kepimpinan dan pemerintahan. Maka dalam penulisan  yang sekerdill dan sedaif   ini saya ingin berkongsi peringatan dan pandangan berkaitan kepimpinan dalam masyarakat Islam khususnya dan buat seluruh umat manusia amnya.
Dewasa ini sikap tidak memegang amanah dalam pemerintahan menjadi  petaka yang membinasakan umat. Keadilan yang tidak terlaksana dengan sewajarnya dan pengkhianatan terhadap tanggungjawab menjadi barah yang menular   dalam sebahagian  pemerintahan dunia Islam kini telah mencetuskan kegusaran umat.
Benih kebencian akan bertunas di segenap relung hati rakyat,kesetiaan kepada pemerintah akan tercabut dari jiwa. Umat akan berantakan dalam menentukan sikap dan pendirian mereka terhadap pemerintah. Ada sebilangan yang terbakar dalam api kebencian tetapi tidak menzahirkan dalam bentuk tindakan yang keras manakala ada yang mengambil jalan pintas  yang bersifat  radikal.
 Sikap umat sebegini akan  memarakkan kobaran kebencian  yang bisa mencetuskan  pemberontakan umat terhadap pemerintah seperti yang pernah  tercatat dalam lipatan sejarah sepanjang zaman.
Sikap dan amalan  para pemerintah umat Islam begitu mendukacitakan dan menconteng cemar pada wajah Islam yang indah. Adunan antara kebejatan dan kemuliaan,makruf dan mungkar digandingkan dalam bentuk amalan yang mewarnai  wajah negara. Kerakusan penguasa meraih keuntungan peribadi sehingga meminggirkan kepentingan umat.
Meskipun begitu kita seharusnya bersikap jujur untuk menyatakan bahawa masih ada pemimpin atau pemerintah yang berpegang teguh  dengan amanah yang dibebankan ke atas pundak mereka. Masih ada sebilangan yang gerun memikirkan azab Allah yang bakal menanti pemimpin yang khianat dan zalim. Malahan ada yang berdada  menghadapi mehnah dan tribulasi dalam menjaga amanah dan masa depan umat.
Saya menyeru diri saya dan umat Islam seluruhnya dalam menilai situasi sebegini  letakkanlah penilaian kita di atas neraca keadilan berdasarkan timbangan yang sahih iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Janganlah  kepentingan peribadi, puak, parti atau kumpulan sehingga meminggirkan manhaj yang sahih.
Islam meletakkan keadilan dalam sebarang situasi ketika menghadapi musuh yang ketat atau sahabat yang rapat. Hak memberikan keadilan tidak seharusnya dibauri dengan kebencian sehingga menyisihkan keadilan dan dibaluti  kecintaan sehingga membutakan hati bagi melihat kebenaran.
Firman Allah S.W.T :
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah,lagi  menerangkan kebenaran. Jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Kamu hendaklah berlaku adil ( kepada sesiapa jua ) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.- Surah al-Maidah:8.
Maka melalui penulisan ini saya menyeru penuh keinsafan agar semua muslimin dan muslimat yang membaca titipan daif ini khususnya buat semua pemimpin  umat Islam kutiplah pengiktibaran yang berguna di dalamnya.
Buat rakyat yang ingin mengangkat  pemimpin atau kepimpinan diseru supaya tidak diangkat golongan Ruwaibidah bagi  mengepalai dan menguasai umat. Mereka adalah golongan yang berkualiti rendah tetapi  ingin berbicara persoalan besar. Sabda Rasulullah S.A.W :
“Sesungguhnya sebelum kedatangan Dajjal ( dalam riwayat  yang lain: sebelum kiamat) adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu ar-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah ar-Ruwaibidoh?’ Sabda Nabi SAW: “ Orang yang tidak berkualiti yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai ).  
 (Hadis riwayat oleh al-Imam Ahmad Abu Ya’la, al-Bazzar,Ibnu Majah, Al-Khairati, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih dan  dipersetujui olehaz-Zahabi )
Oleh yang demikian menjadi kewajipan umat mengangkat pemimpin yang menepati petunjuk al-Quran dan as-Sunnah. Izzah umat ini berkait rapat dengan kepatuhan pemimpin dan kepimpinan menjunjung titah perintah Allah dan ajaran Rasul-Nya. Kepimpinan yang membawa keunggulan di dunia dan di akhirat.                                                                                             
Buat pemimpin pula berdamping dan kutiplah mutiara hikmah daripada penasihat yang jujur nescaya kepimpinan akan berada di landasan yang haq.Umara yang amanah bergandingan dengan ulama yang jujur.Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah(penasihat yang rapat). Pertama,bitanah yang menyuruhnya melakukan kebaikan serta menggalakkannya. Kedua bitanah yang menyuruh melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat siapa yang diselamatkan Allah.”
                                                                                                                                                (Bukhari)

No comments:

Post a Comment