Wednesday, June 13, 2012



Hakikat Kepimpinan

            Manusia biasa tidak  maksum sifatnya, sudah tentu tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Agama Islam menyeru penganutnya supaya saling menasihati agar umat tidak tersesat, sebaliknya berada dalam lingkungan petunjuk Ilahi. Umat Islam telah dijadikan Allah sebagai umat yang terbaik untuk membimbing manusia agar patuh dan tunduk kepada maha pencipta. Pra syarat untuk layak diiktiraf sebagai umat terbaik, mestilah berpaksi kepada tiga asas seperti yang dikehendaki Allah ia itu melakukan perkara makruf, mencegah kemungkaran serta dilengkapi dengan beriman kepada Alah. Sebagai khalifah Allah di muka bumi, tidak cukup sekadar melakukan yang makruf sedangkan perkara mungkar dibiarkan tanpa keazaman dan usaha untuk mencegahnya.Allah SWT memperingatkan dalam firmanNYa;

                        “Sesungguhnya kamu adalah umat terbaik (umat Muhammad) yang di keluarkan
daripada kalangan manusia, menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar serta beriman kepada Allah”
                                                                                                            Surah ali- Imran 3: 110

Dalam konteks kepimpinan, tindakan pemimpin mungkin betul dan mungkin sebaliknya. Pengikut atau rakyat berperanan menegur pemimpin agar perjalanan urus tadbir organisasi atau negara tidak berlaku ketempangan dan penyelewengan yang membawa kemudaratan kepada rakyat dan negara. Sekiranya rakyat membisu atau mengiyakan sahaja kemungkaran atau kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin beerti rakyat menempah penderitaan dan musibah. Rakyat yang cintakan negara jangan sekali-kali membiarkan pemimpin melakukan kemaksiatan dan kemungkaran dan berkewajipan menegur kesalahan yang dilakukan. Islam telah menegaskan bahawa mesti ada golongan yang menyeru kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran. Rasullulah mengingatkan tentang kewajipan umat Islam menegur jika melihat kemungkaran yang dilakukan oleh seseorang tanpa mengira darjat atau kedudukan. Usaha mencegah kemungkaran bersandar kepada tahap keupayaan. Rasullullah bersabada:

“Barangsiapa di antara kamu melihat perbuatan mungkar di kerjakan orang maka hendaklah ia ubah dengan tangannya sendiri. Jika ia tidak mampu, ubahlah dengan lisan (ucapan ). Jika ia tidak sanggup juga ubahlah dengan hatinya. Tetapi tindakan yang terakhir ini suatu tanda iman yang lemah”

Sebagai hamba Allah yang layak untuk digelar seorang Mukmin, maka mestilah berusaha bersungguh-sungguh untuk membetulkan kesalahan atau kesilapan saudara seagamanya yang terpesong daripada panduan syariat. Amat malang jika umat yang mengaku beriman kepada Allah melihat sahaja kemungkaran berlaku di depan mata terutama yang melibatkan kepimpinan umat sekurang-kurangnya benci terhadap kemungkaran yang dilakukan.  Apakah nilai seorang hamba di sisi Allah yang mengaku dirinya Islam tetapi mempertahankan kemungkaran pemimpin demi kepentingan keduniaan semata-mata. Kebencian dalam hati itu pun sudah meletakkan tahap keimanan seseorang mukmin ditahap yang paling rendah kerana selepas itu tidak Iman lagi. Hal ini telah disebut dalam hadis Nabi s.a.w. telah diriwayatkan oleh Muslim daripada Ibn Mas’ud secara marfu’;

Terjemahan:
Tidak ada seorang Nabi pun yang diutuskan oleh Allah di kalangan umat sebelumku melainkan wujud daripada umatnya golongan Hawariyun (pembantu) dan para sahabat yang mengambil sunahnya dan mematuhi perintahnya. Kemudian dia meninggalkan selepas mereka para pengganti yang berkata apa yang tidak mereka lakukan dan melakukan apa yang yang tidak diperintahkan. Sesiapa berjihad menentang mereka dengan tangan maka dia adalah seorang Mukmin. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan lidah maka dia adalah seorang Mukmin. Sesiapa yang menentang mereka dengan hati maka dia adalah seorang Mukmin dan tidak ada di sebalik itu iman walaupun sebesar biji sawi.

Abu Bakar Ash-Shiddiq selepas diangkat menjadi khalifah, beliau bangun dan berkata di hadapan khalayak ramai dengan ungkapan yang menggambarkan ketinggian peribadi dan sikap keterbukaan seorang pemimpin yang memukul beban amanah yang begitu besar. Beliau berkata:

“Saudara-saudara, sekarang aku telah terpilih sebagai amir meskipun aku tidak lebih baik daripada sesiapa pun di antara  kamu. Bantulah aku apabila aku berada di jalan yang benar, dan perbaikilah aku apabila aku berada di jalan yang salah. Kebenaran adalah satu kepercayaan, kesalahan adalah satu pengkhianatan. Orang yang lemah di antara kamu akan menjadi kuat bersamaku (Insya Allah) hingga kebenaran terbukti dan orang yang kuat di antara kamu akan lemah bersamaku dan aku beri apa yang menjadi haknya. Patuhlah kepadaku sebagaimana aku mematuhi Allah dan RasulNya. Jika aku tidak mematuhi Allah dan RasulNya janganlah sekali-kali kamu patuh kepadaku”

            Ungkapan hebat itu menggambarkan peranan pemimpin untuk memerintah dengan adil dan sentiasa berlapang dada untuk menerima teguran agar kepimpinan berada di landasan yang betul dengan memenuhi kehendak Allah dan RasulNya. Amat malang sekiranya terdapat pemimpin yang menyeleweng atau mengeluarkan sesuatu kenyataan yang salah rakyat bawahan membisu atau pun orang-orang di sekeliling pemimpin itu mengambil pendekatan berdiam diri kerana wujud sifat pengampu dan menjaga kepentingan diri agar tidak terjejas. Sikap seperti ini membawa  kerosakan kepada kualiti kepimpinan dan rakyat pula menjadi tukang angguk yang merosakkan pemimpin dan membawa kehinaan kepada umat. Mu’awiyah meriwayatkan bahawa Rasullulah s.a.w.bersabda;
           
Terjemahan:
Akan berlaku selepas aku pemimpin-pemimpin yang mengeluarkan kenyataan dan tiada siapa seorangpun yang berani membantahnya, mereka akan di halau di dalam neraka seperti di halaunya kera’.


Daripada Jabir bahawa Rasullulah s.a.w. telah bersabda kepada Ka,ab bin ‘Urjah yang bermaksud:

“Semoga kamu dilindungi oleh Allah daripada pemerintahan orang-orang yang bodoh wahai Ka’ab”. Ka’ab bertanya: “ Apakah pemerintah orang yang bodoh itu? ”Rasulullah menjawab: Para pemimpin selepasku yang tidak mengambil petunjukku sebagai petunjuk dan tidak mengamalkan Sunahku. Sesiapa yang membenarkan pendustaan mereka, menolong kezaliman mereka, mereka bukanlah daripada aku dan aku juga bukanlah daripada mereka, mereka tidak dapat meminum daripada kolamku (pada hari kiamat). Sesiapa yang tidak membenarkan pendustaan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, mereka itulah daripadaku dan aku adalah daripada mereka dan mereka akan dapat minum di kolamku.”

Pemerintah atau pemimpin (Islam) umat mestilah meletakkan asas kepimpinan yang telah ditunjukkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Ketinggian akhlak Rasulullah dalam memimpin umat merupakan model kepimpinan yang terunggul. Pemimpin mestilah membawa rakyat yang dipimpin dengan nilai peradaban luhur yang menjurus kepada pengabdian diri kepada Allah. Kepimpinan yang buruk ialah para pemimpin yang mengheret pengikut atau rakyat bersama dengannya mendokong nilai kemuflisan akhlak dengan melakukan kezaliman dan pembohongan. Pemimpin sewajarnya berlapang dada dan bermuhasabah terhadap teguran dan kritikan yang bertujuan membetulkan teraju pemerintahan yang berteraskan keadilan dan bersikap demokratik dan seterusnya yang lebih penting tidak mengundang kemurkaan Allah. Pemimpin yang tidak boleh ditegur atau dinasihati merupakan pemimpin yang angkuh dan membekangkan peringatan agama. Marilah kita merenung sejenak kata-kata Khalifah Umar al-Faruq:
           
                        “Semoga Allah merahmati seseorang yang menunjukkan kepadaku keaiban diriku”

Umar seterusnya berbicara,
” Wahai manusia, sekiranya kamu melihat aku menyeleweng daripada jalan kebenaran maka perbetulkanlah aku.” Lalu seorang lelaki bangun sambil berkata: ”Wahai Ibn Khattab, demi Allah, kalau kami melihat kamu melakukan penyelewengan maka kami akan memperbetulkannya dengan mata pedang kami.”

Pada suatu situasi seorang perempuan telah membidas kata-kata Umar ketika itu sedang berada di atas mimbar. Umar tidak melihat bahawa teguran perempuan itu sebagai memalukannya, bahkan beliau berkata: “Perempuan itu benar, dan Umar telah bersalah”. Nah betapa tingginya kualiti kepimpinan umat yang ditunjukkan oleh Umar dalam menjamin pemerintahannya berada di landasan yang betul.


Setiap rakyat sememangnya wajib mentaati  perintah atau Ulil Amri. Namun ketaatan terhadap Ulil Amri bukanlah ketaatan yang mutlak seperti ketaatan kepada Allah dan Rasul. Pemimpin yang zalim dan melakukan kemaksiatan kepada Alah dan Rasulnya tidak wajib ditaati. Islam telah menggariskan kaedah-kaedah yang terbaik dalam membetulkan kesalahan pemimpin. Dalam hal ini Imam Ath Thabary dalam tafsirnya Jaami’ul Bayan menjelaskan bahawa Ulil Amri itu adalah para raja dan kepala negara yang perintahnya untuk taat kepada Allah dan untuk kemaslahatan kaum muslimin. Inilah Ulil Amri yang wajib ditaati. Pandangan Ath Thabary itu hampir senada dengan pandangan Imam Al Umady dalam tafsirnya Isyaadul Aqqlis Salien menjelaskan bahawa Ulil Amri itu adalah para raja yang benar dan kepala negara yang adil, seperti para Khulafaur Rasyidin dan para orang yang mengikuti jejak mereka. Mereka selalu mengikuti petunjuk yang benar dan pimpinan yang lurus. Para raja atau kepala negara yang zalim tidak wajib ditaati. Walau bagaimana pun rakyat tidak boleh melakukan tindakan yang bertentangan dengan prinsip undang-undang dan keluhuran perlembagaan.
Muhammad Ali Shabuni dalam tafsirnya menjelaskan bahawa:

”Pengertian taati Allah dan taati Rasulnya dengan bepegang teguh dengan kitab Allah
(Al Quran) dan Sunah (hadis) dan taatilah pemerintah, apabila pemerintah itu muslim yang berpedoman dengan syariat Allah”.

            Amat penting bagi umat Islam berhati-hati serta menyelidiki keperibadian seseorang sebelum layak untuk diangkat menjadi pemimpin umat dan negara. Apabila umat tersalah memilih pemimpin terutama pempimpin yang tidak menjaga hubungan dengan Allah maka akan mengundang pelbagai musibah atau kemungkaran. Apabila pemimpin dan rakyat saling melengkapi, rakyat kasihkan pemimpin dan pemimpin juga kasihkan rakyatnya serta sama-sama bertanggungjawab menjaga kemuliaan agama, bangsa dan negara maka insya Allah akan lahirlah sebuah negara yang harmoni dan stabil. Dalam satu hadith Rasullah s.a.w. bersabda;

Terjemahannya:
“Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu menyayanginya dan dia menyayangimu, kamu berdoa untuknya dan dia berdoa untukmu. Sejahat-jahat pemimpin pula adalah siapa yang kamu membencinya dan dia membencimu, kamu melaknatinya dan dia melaknatimu”.
           
            Umat Islam terutamanya tidak akan terlepas untuk dihisab di hadapan mahkamah Allah kerana mengangkat pemimpin yang tidak berakhlak yang membawa kemudaratan kepada umat. Umat Islam disuruh melakukan amal makruh nahi mungkar. Segala kemungkaran wajib dihalang terutama yang melalukan kesalahan dan kemungkaran ialah pemimpin umat. Amat malang jika pengikut atau rakyat tidak ada keberanian walau sedikit pun untuk menegur kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin. Apakah rakyat suka negara ditadbir oleh orang-orang yang melakukan kerosakan? Dalam konteks ini Rasullulah mengingatkan dalam sabda baginda;


“Pilihlah; Apakah kamu akan melakukan amal makruf dan nahi mungkar, atau Allah akan menjadikan orang-orang jahat berkuasa di kalangan Kamu, kemudian setelah itu pemimpin-pemimpin berdoa kepada tuhan, tetapi Tuhan tidak akan mengabulkannya lagi!”

1 comment:

  1. memang berat amanah kepimpinan ni psl tu aku tak jd pemimpin beso..dah berapa kali org nak lantik aku jadi president Amerika

    ReplyDelete